fbpx

Tawaran Anwar, Pas bincang dengan rakan komponen PN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Takiyuddin.

PETALING JAYA – Pas akan berbincang dengan rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN) dalam masa terdekat berhubung tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada PN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dalam masa sama, pihak tersebut turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya pengundi yang telah memberikan undi memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mengenai tawaran Perdana Menteri kepada PN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi sidang akhbar malam tadi, Anwar menawarkan kepada semua parti politik termasuk PN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan yang diketuainya.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas mengucapkan tahniah kepada Anwar yang telah diperkenan dan dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Pas yakin beliau akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisma yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata.

“Pas menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah ke hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas kebijaksanaan melaksanakan fungsi baginda berdasarkan kuasa diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal pelantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas mengucapkan syukur kepada Allah kerana kemelut kepimpinan negara pasca PRU15 tidak berterusan dan dapat diselesaikan dengan harmoni dan damai.

“Pas menerima dengan reda dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmah tersendiri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI