fbpx

Anwar Ibrahim pemaaf, penyabar – Afdlin Shauki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFDLIN berharap agar mana-mana artis yang menyokong parti berlawanan tidak seharusnya disekat oleh kerajaan kerana sokongan terhadap politik adalah peribadi.

KUALA LUMPUR – “Saya menitiskan air mata apabila nama Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 hari ini (semalam).”

Itu reaksi selebriti serba boleh terkenal, Datuk Afdlin Shauki atas pelantikan secara rasmi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai Perdana Menteri sekali gus menamatkan penantiannya selama lebih dua dekad untuk memegang jawatan sebagai pemimpin negara.

“Alhamdulillah bila ada kawan-kawan telefon cakap kita (Pakatan Harapan) dah berjaya, saya terus menitiskan air mata.

“Bukan untuk saya, tetapi buat Datuk Seri Anwar sendiri yang berjuang selama bertahun-tahun, keluar masuk penjara dan pada akhirnya beliau dapat juga jadi Perdana Menteri,” katanya Kosmo! Online.

Ujar Afdlin atau nama sebenarnya, Afdlin Shauki Aksan lagi, dia terharu atas perlantikan Anwar sebagai Perdana Menteri selepas melihat sendiri kerja keras dan perjuangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu  terutama ketika berkempen.

“Kita nampak beliau bekerja keras semasa berkempen. Jadi saya terharu dan gembira bagi pihaknya dan juga untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Ketika disoal tentang keistimewaan yang ada pada figura berusia 75 tahun itu, Afdlin menyifatkan Anwar memiliki tahap kesabaran yang tinggi selain pemaaf.

“Beliau memiliki tahap kesabaran yang luar biasa selain mempunyai sikap pemaaf. Mana ada individu mudah memaafkan orang yang pernah masukkan dia ke dalam penjara? Anwar bukan begitu.

“Akhlak beliau membuatkan kita rasa kagum. Itulah dia Anwar Ibrahim,” kata Afdlin.

Bercakap mengenai kaitannya dengan dunia seni, Afdlin yang ditemui ketika majlis Viu UPFRONT 2023 di sini semalam berkata, artis-artis yang menyokong parti berlainan tidak seharusnya disekat oleh kerajaan.

Ujarnya, setiap individu mempunyai hak masing-masing untuk memberikan sokongan kepada mana-mana parti dan tidak seharusnya dikaitkan dengan politik.

“Pada saya, dalam seni tidak ada politik. Kalau ada anak-anak seni nak sokong pihak lain sekalipun, mereka seharusnya tidak dihalang. Politik adalah politik, kerja adalah kerja.

“Sokongan politik itu hak peribadi sebab apa pun kita rakyat Malaysia. Kalau ada anak seni yang nak berpolitik itu terpulang, tetapi dalam berkarya kita harus bersatu tanpa mengira mana-mana parti,” ujarnya.

Terdahulu, Afdlin sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 1 April 2021.

Perkara tersebut diumumkan sendiri oleh Anwar dalam sebuah program di Ampang.

Selain itu, Afdlin juga pernah bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa pada tahun lalu, namun tewas di tangan Ahli Parlimen Setiawangsa ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI