fbpx

Mahkamah: Siti Bainun diperintah bela diri 2 pertuduhan abai, aniaya Bella

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali diperintah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun yang dikenali sebagai Bella.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap dua pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Sebelum ini, seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan yang mana pihak pendakwaan menutup kesnya selepas saksi ke- 22 iaitu juruteknik sebuah syarikat penapis air Mohamed Rezuan Satori, 25, selesai memberi keterangan.

Dalam prosiding hari ini, Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria, Fazeedah Faik dan Shakira Aliana Alias.

Sementara peguam Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf, Nurul Hafidzah Hassan, Asiah Abd Jalil dan Nur Ellena Mohamed Razif mewakili Siti Bainun.

Turut hadir Datuk Khairul Anwar Rahmat, Datuk Ikbal Salam dan Mohd. Radzi Yatiman yang dilantik oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku peguam pemerhati.

Untuk rekod perbicaraan kes itu bermula 30 Mac lalu (2022) dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah mangsa iaitu Bella, pakar psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, pembantu pengurus syarikat swasta Zurianty Sudin, pakar bedah plastik, Dr. Salmi Mohamed Shukur.

Selain itu ialah bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang merupakan saksi pendakwaan kelima.

Dalam keterangannya sebelum ini, Yasmin pernah memberitahu mahkamah bahawa Bella didera Siti Bainun dan kejadian itu sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Semasa perbicaraan kes itu juga, Hakim Izralizam pada April lalu pernah memberi peringatan kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes itu yang ketika itu sedang berlangsung.

Peringatan itu dikeluarkan selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah orang ramai masih membuat hantaran di laman sosial berhubung kes tersebut seperti ‘JusticeforBella’.

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI