fbpx
Rakyat perlu menunggu selama tiga hari selepas PRU15 untuk mengetahui parti mana yang menjadi pemerintah bagi kerajaan Persekutuan

Rakyat mahu kerajaan stabil, ekonomi pulih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

TANGGAL 19 November 2022 sekali lagi menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah negara usai berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pun begitu, setakat pukul 2 petang semalam, masih belum ada parti politik yang berjaya membentuk kerajaan Persekutuan kerana bilangan kerusi yang tidak mencukupi.

Bagi penganalisis politik yang juga Pensyarah Sosiologi Politik, Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian, mana-mana parti pun yang bakal diisytiharkan sebagai kerajaan mestilah berbalik kepada tanggungjawab mereka iaitu mengutamakan rakyat sejagat.

Katanya, rakyat tidak kisah siapa pun bakal calon Perdana Menteri ke-10 yang bakal dilantik bagi mengemudi sesebuah negara nanti asalkan kebajikan mereka diberi keutamaan dan menjadi yang teratas.

“Kalau kita lihat kepada trend selepas hari membuang undi hinggalah kepada keputusan rasmi kerusi Parlimen yang di­umumkan satu persatu, terbit rasa kecewa dan muak rakyat terutama dalam kalangan pengundi muda atau pertama kali dengan situasi semasa yang berlaku.

“Tetapi, mereka tetap menantikan apa keputusan yang bakal diambil setelah ketua-ketua parti utama berbincang bagi membentuk kerajaan kelak sekali gus memilih pemimpin seterusnya.

“Di sini, perkara paling utama yang diharapkan rakyat terutama bagi golongan B40, bukan siapa dan parti mana yang bakal mengemudi kerajaan, tetapi mereka mahukan sebuah kerajaan stabil yang bukan kucar-kacir dengan masalah dalaman,” katanya.

Tambah Sivamurugan, pada tahap dan waktu ketika ini, rakyat cuma mahukan sebuah kerajaan yang stabil sekali gus mampu memacu pertumbuhan ekonomi dan dapat membawa rakyat keluar dari permasalahan yang dihadapi sekarang ini.

“Dalam konteks ini, dapat dilihat majoriti rakyat mahukan kebajikan mereka terbela dan senantiasa diutamakan kerajaan dalam apa jua keadaan.

“Hal ini lebih-lebih lagi kita sering dimomokkan dengan situasi di mana negara dan dunia amnya bakal berdepan dengan krisis ekonomi pada tahun hadapan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, apa yang pa­ling diperlukan dan didahagakan rakyat ketika ini adalah menghentikan segala ketidakstabilan merangkumi aspek ekonomi dan politik yang berlaku sejak empat tahun lalu.

Senada dengan Sivamurugan ialah rakan sejawatnya yang juga penganalisis politik, Dr. Jeneri Amir yang mempunyai pendirian sama dan meletakkan keperluan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, tiba masa kerajaan campuran yang bakal dibentuk pada bila-bila masa untuk ‘membayar’ semula segala ‘hutang-piutang’ yang pernah diberikan parti-parti politik semasa mereka ‘bergaduh’ dalam merebut kerusi pada PRU15 ini.

Walaupun mereka berpendapat tiada lagi mana-mana parti yang memperolehi majoriti besar di Parlimen usai pilihan raya berlangsung, kepentingan rakyat harus menjadi keutamaan me­langkaui segalanya.

Jenri berharap, parti-parti politik dan kerajaan campuran yang bakal diumumkan kelak sedar bahawa semasa mereka ‘bergaduh’ sebelum ini, orang ramai yang membayar harganya, dengan inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi.

“Kali ini, mereka harus meletakkan orang ramai (rakyat) di atas kepentingan mereka sendiri apabila membentuk kerajaan campuran kelak,” ujarnya.

POPULAR