fbpx

Gajah serang kawasan rumah penduduk Felda Bukit Sagu 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMTINGAH Kasbullah menunjukkan pagar belakang rumahnya yang musnah selepas dirosakkan sekumpulan gajah di Felda Bukit Sagu di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Buat pertama kalinya selepas lebih 40 tahun menetap di Felda Bukit Sagu 1, penduduk di tanah rancangan itu dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan gajah yang memusnahkan tanaman berhampiran rumah mereka.

Seorang penduduk, Abu Bakar Nor Mohamed, 65, berkata, mereka pernah menerima ancaman sekumpulan gajah beberapa tahun lalu namun hanya berada pada jarak sekitar satu kilometer dalam ladang dan jauh dari kawasan rumah penduduk.

Namun katanya, kali ini amat berbeza apabila kumpulan gajah terbabit datang memusnahkan tanaman yang berada berhampiran rumah mereka.

“Selama lebih 40 tahun menetap di felda ini, ini kali pertama sekumpulan gajah datang pada jarak yang terlalu dekat,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ketika keluar meninjau keadaan sekeliling rumahnya itu, dia menemui beberapa ketul najis gajah selain kesan tapak kaki gajah.

Seorang lagi penduduk, Amtingah Kasbullah, 65, berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumahnya kerana menumpang tidur di rumah kawan.

“Saya dapat tahu dari jiran sebelah gajah datang menyerang pagi tadi dan mujurlah ketika kejadian saya tidak berada di rumah dan rumah juga tidak mengalami sebarang kerosakan,”katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Ayub Ashri berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan selepas mendapatkan nasihat dari pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut hadir bagi melihat keadaan tersebut.

“Pihak Perhilitan mencadangkan agar dipasangkan lampu torpedo untuk dipasang bagi mengekang kedatangan gajah kali kedua.

“Kita juga akan berjumpa dengan pihak Felda bagi membincangkan apakah kaedah yang sesuai sama ada memasang pagar gajah atau membina longkang sebagai inisiatif dalam masa terdekat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI