GR Yaris merupakan antara barisan kereta berprestasi yang dikeluarkan syarikat automotif dari Jepun, Toyota sebagai penawaran pilihan buat para pembeli.
GR Yaris yang dilancarkan di Malaysia pada bulan Disember lalu merupakan model terhad kerana di seluruh dunia hanya 25,000 unit dihasilkan dan setiap satu unit hadir dengan plat nombor siri istimewa.
Untuk makluman, model ini sebenarnya dibina dengan penglibatan legenda Kejuaraan Rali Dunia (WRC), Tommi Makinen. Beliaulah bertindak sebagai penasihat dan pemandu uji bagi GR Yaris.
Baru-baru ini penulis berpeluang untuk memandu uji model ini yang merupakan unit terhad Performance Pack Edition untuk pasaran Malaysia iaitu antara barisan GR yang diperkenalkan.
GR Yaris juga adalah model yang dibangunkan sendiri tanpa kerjasama dengan syarikat automotif lain. Sebagai contoh, GR Supra bersama BMW dan GR86 pula bersama Subaru.
Jentera ini menggunakan enjin 1.6 liter tiga silinder turbo dan transmisi manual enam kelajuan dengan Intelligent Manual Transmission (i-MT).

Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 261PS dan tork tertinggi 360Nm.
Kadar pecutan dari pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 5.5 saat. Kelajuan maksimumnya pula adalah pada kelajuan 230km/j.
Transmisi GR Yaris ini sebenarnya menarik kerana hadir dengan fungsi i-MT yang bertujuan mengesan operasi penukaran gear.
Ia juga dapat dipadankan dengan kelajuan enjin untuk memberikan proses yang lebih lancar dan selesa ketika peralihan gear oleh pemandu.
Ciri-ciri ini sebenarnya datang sekali kerana Toyota mahu memberikan kepuasan kepada pemandu yang memandu jentera ini.
Selain itu, model ini turut dilengkapi sistem pacuan semua roda GR-Four serta Performance Pack dengan LSD jenis Torsen pada gandar hadapan dan belakang.
Pada bahagian luaran pula, bahagian hadapan, belakang serta sisinya memang kelihatan agresif dan garang.

Malah, kereta kompak dua pintu ini juga hadir bersama cakera brek bersama angkup monoblok empat omboh dan pada bahagian belakang pula cakeranya bersama angkup dua omboh.
Penggunaan rim bersaiz 18 inci bersama tayar Michelin Pilot Spot 4s bersaiz 225/45 menonjolkan lagi imej sporty kereta ini.
Masuk ke ruang kabin, duduk di kerusi separa buketnya sudah dapat aura kereta sport, tambahan pula GR Yaris ini hadir dengan transmisi manual.
Kedudukan tombol gear agak hampir dengan stereng bertujuan untuk pemanduan yang lebih selesa.
Sistem paparan maklumat GR Yaris merangkumi meter analog yang digabungkan dengan paparan pelbagai maklumat berwarna bersaiz 4.2 inci.
Selain itu, model ini juga dilengkapi head-up display (HUD).
Sistem infotainment skrin sentuh tujuh incinya dilengkapi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto Connectivity selain radio FM, USB, Bluetooth dengan enam pembesar suara.
Mengulas lanjut dari segi pemanduan, model ini juga hadir dengan pacuan empat roda sepenuh masa dipanggil GR-Four yang pada masa sama juga menawarkan tiga mod pemanduan seperti Normal, Sport dan Track.
GR-Four itu berfungsi untuk mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang menerusi gandingan tindak balas tinggi.

Ruang simpanan di bahagian belakangnya pula bersaiz 174 liter selain bateri turut berada di bawah tempat simpanan barang.
Dari sudut keselamatan, GR Yaris dilengkapi sistem keselamatan Vehicle Stability Control (VSC), Traction Control (TRC) serta enam beg udara keselamatan Hill-Start Assist Control (HAC).
Kesimpulannya, kereta ini manual, tetapi bagi saya GR Yaris mudah untuk dikendalikan kerana beberapa ciri-ciri seperti HAC yang membantu ketika mahu memulakan pergerakan kereta untuk menaiki bukit.
Secara keseluruhan kereta ini memang seronok dipandu dan agak mudah untuk dikendalikan dengan prestasi yang ditawarkan.
Saya berpendapat model seperti ini tidak banyak pengeluar kereta berani mengeluarkannya kerana mereka lebih fokus kepada kenderaan automatik atau elektrik.






