fbpx

PRU15: Jangan takut keluar mengundi, anda selamat – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin

SUNGAI BULOH – Rakyat Malaysia tidak perlu takut untuk keluar mengundi pada Sabtu ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana situasi Covid-19 di negara ini masih terkawal.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya turut mendapat pandangan daripada pakar mengenai keadaan semasa jangkitan virus ini.

“Dua minggu lalu saya keluarkan nasihat berkaitan gelombang Covid-19 baharu yang melanda negara, syukurlah dengan sokongan daripada rakyat yang mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kita lihat pada minggu lalu kes jangkitan menurun sebanyak 13.4 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Saya juga sudah bertanyakan kepada Timbalan Ketua Pengarah KKM serta pakar daripada bahagian penyakit berjangkit bagaimana dengan kemasukan pesakit Covid-19 di hospital dan tiada peningkatan kes dilaporkan.

“Dengan itu saya yakin bahawa situasi Covid-19 dan gelombang kecil ini dalam keadaan terkawal, jadi kita nasihatkan masyarakat untuk terus berwaspada dan berhati-hati terutamanya pada hujung minggu ini kerana akan adanya ceramah, kempen serta hari pengundian yang sudah tentu akan berlakunya kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar berhubung status terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Katanya lagi, setiap petugas KKM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah dimaklumkan serta dijelaskan mengenai prosedur sepanjang proses membuang undi dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI