fbpx

Mahkamah: Rayuan pendakwaan gantung sabitan Peter dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter Anthony.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk menggantung hukuman dan sabitan atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membatalkan rayuan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis pemberhentian rayuan pada 28 Oktober lalu.

“Oleh itu, rayuan (pendakwaan) dibatalkan,” kata hakim Mohamed Zaini semasa pengurusan kes hari ini.

Dalam prosiding hari ini, Peter tidak hadir dan hanya diwakili peguamnya S.Devanandan.

Peter, 51, memfailkan permohonan untuk menggantung hukuman dan sabitan salah terhadapnya bagi membolehkannya bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kemudian pada 1 Ogos lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi membenarkan permohonannya selepas berpuas hati dengan alasan yang dinyatakan oleh pihak pembelaan.

Bagaimanapun pada 5 November lalu, media melaporkan suasana di luar pekarangan Dewan DSP Antanom, Tenom, kecoh selepas pencalonan Peter untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom dalam PRU15 ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Difahamkan, dalam kejadian 10 pagi itu, presiden parti berkenaan hadir di dewan pencalonan berkenaan bagi mendaftarkan diri untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom.

Bagaimanapun, sebaik permohonan ditolak, ia menyebabkan penyokong beliau berang dan terus merusuh sehingga pasukan polis yang berkawal terpaksa melepaskan gas pemedih mata.

Pada 26 Mei lalu, hakim Azura menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan terhadap Peter selepas didapati bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan sistem Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Pada Isnin lalu, media turut melaporkan Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 27 Januari 2023 bagi mendengar rayuan Peter terhadap sabitan dan hukuman yang dikenakan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI