fbpx
rata-rata pelajar institusi pengajian tinggi merungut mereka tidak mempunyai belanja yang mencukupi untuk pulang ke kampung bagi mengundi pada PRU15 Sabtu ini. – gambar hiasan

Pelajar guna duit poket, PTPTN balik mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ramai dalam kalangan pelajar universiti berada dalam keadaan dilema apabila terpaksa menghabiskan duit ha­sil bekerja sambilan semata-mata pulang ke kampung untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Lebih parah apabila ada yang terpaksa menggunakan wang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan biasiswa untuk membeli tiket pe­ngangkutan awam atau membayar kos petrol dan tol jika menaiki kereta.

Ketika hati masih berbelah bahagi, mereka mempunyai ke­sedaran menunaikan tanggungjawab kepada negara untuk keluar mengundi.

Di Melaka, seorang pelajar jurusan akhir Ijazah Sarjana Muda Tekno­usahawan, Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Siti Haajar Patta, 23, berkata, dia berhabis kira-kira RM700 untuk pulang ke Sandakan, Sabah pada Khamis ini.

“Saya guna duit upah tolong kawan berniaga air balang dalam kampus dan wang saku PTPTN. Kebetulan ia cuti pertengahan semester dan saya mahu pilih pemimpin di Parlimen Libaran,” katanya kepada Kosmo!.

Di Johor, Seorang pelajar Universiti Teknologi Malaysia, Muhammad Badrul Amin Abdul Rashid, 25, terpaksa belanja RM500 untuk pulang ke Kulim, Kedah.

“Saya mungkin balik memandu kereta seorang diri, kos pergi balik dalam RM500 terma­suk tol dan minyak. Tiket bas pula melambung dan sudah habis,” katanya yang bekerja sambilan di kedai makan.

Gambar hiasan

Di Pulau Pinang, pelajar Universiti Sains Malaysia, Esnita Sonie, 28, berkata, dia bersama tiga lagi rakannya tidak dapat pulang ke Kuching, Sarawak, Lahad Datu dan Tawau, Sabah.

“Kami baru selesai membayar yuran bulan lepas dan duit sudah tiada. Kos balik Tawau mahal cecah RM900 dan terpaksa lupakan untuk mengundi kali ini,” katanya.

Pekerja swasta Nadiya Asman, 26, pula memberitahu, dia tidak balik mengundi kerana belum gaji.

“Kami perlukan undi pos. Perjalanan ke Sarawak memerlukan modal besar,” jelasnya.

Di Kota Bharu, pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Afiqah Liyana Abd. Razak, 23, berkata, dia menggunakan wang pemberian bapa untuk belanja pulang ke kampung bagi mengundi.

“Saya beli tiket bas dua hala ke Johor Bahru pada harga RM100. Saya ada PTPTN tetapi duit itu hendak digunakan untuk bayar yuran pengajian dan tempat tinggal,” katanya.

Gambar hiasan

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMK Kampus Pengkalan Chepa, Muhammad Saiful Amirul Shahrul Nizam, 23 berkata, dia sudah membeli tiket untuk pulang ke Perak untuk mengundi menggunakan wang PTPTN minggu lalu.

Katanya, wang pinjaman itu merupakan satu-satunya sumber kewangan yang digunakannya sepanjang tempoh pengajian Ijazah Sarjana Muda di UMK.

“Saya teruja untuk pulang mengundi buat pertama kali. Sebagai pelajar, wang PTPTN banyak membantu saya tidak kira sama ada dalam pelajaran atau kehidupan luar kampus,” katanya.

Dalam hal berasingan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu, tidak timbul sebarang isu sekiranya ada anggota tentera yang sudah mengundi.

“Semua kertas undi pos mula dikeluarkan pada 7 November lalu, malah ejen-ejen calon juga telah dimaklumkan oleh setiap Pegawai Pengurus Pilihan Raya mengenai tarikh pengeluaran undi pos.

“Justeru, tidak timbul sebarang isu kerana ini adalah proses biasa dalam semua pilihanraya sama ada Pilihan Raya Kecil atau PRU,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN