PETALING JAYA – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan sahaja menjadi sumber pendapatan tambahan kepada peniaga makanan, namun rezeki terpijak buat pengusaha-pengusaha kereta sewa di seluruh negara.
Rata-rata mereka meluahkan rasa syukur selain tersenyum lebar apabila dapat meraih pendapatan ribuan ringgit dengan kesemua kenderaan disewa parti-parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh dua minggu berkempen bermula 5 November lalu.
Di Petaling Jaya, Pengarah Urusan AHMJ Luxury Car, Azam Junuh, 37, berkata, PRU15 memberikan rezeki buat kami apabila 40 buah kereta pelbagai jenis disewa parti dan agensi berkaitan.
“Paling laku kenderaan pacuan empat roda (4X4) termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) seperti Toyota Alphard, Nissan Serena atau Hyundai Starex. Jumlah ini sebenarnya masih tidak mencukupi,” katanya.
Ceritanya, lubuk rezeki ini juga terbuka kepada orang pensendirian yang memiliki lebihan kenderaan dengan kadar sewa yang amat tinggi.
“Bagi 4X4 ada yang tawarkan RM4,500 untuk dua minggu, manakala bagi MPV boleh mencecah RM5,500 bagi tempoh yang sama. Kereta sedan juga mendapat permintaan banyakdan sewa juga tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Pengarah Urusan NMKNM Enterprise, Nik Mohd. Koidin Nik Mustapa berkata, lokasi permintaan paling tinggi adalah di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Kereta biasa terutamanya Perodua Myvi, Axia dan Alza juga menjadi pilihan penyewa dan bayarannya bermula daripada RM1,000 sehingga RM2,000.
“Agensi-agensi seperti SPR dan pihak parti bertanding akan menggunakan kenderaan sewa ini untuk membawa barang dan calon-calon yang bertanding pada PRU15 nanti,” jelasnya.

SEBAHAGIAN kenderaan mewah yang disewa parti politik serta SPR bermula dari harga RM4,500 sebuah.
Sementara itu, di Ipoh, Pengurus Operasi KLezcar Ipoh, Muhammad Abd. Wahab berkata, syarikatnya telah menyewakan lebih 50 buah kereta kepada calon, parti bertanding sepanjang kempen pilihan raya.
“Tempoh sewaan bermula sejak 4 November lalu sehinggalah hari pengundian PRU15, 19 November,” jelasnya.
Menurutnya, antara kereta yang disewa termasuk Proton X70, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Nissan Navara.
Menurutnya, harga sewa harian bagi kenderaan tersebut ialah RM700 bagi Proton X70, RM600 (Toyota Vellfire), RM450 (Ford Ranger dan Nissan Navara) dan Toyota Vios (RM250).
Sementara itu, di Kota Bharu, Kelantan, sekumpulan sahabat yang mengusahakan van sewa tersenyum lebar apabila kesemua 30 buah van milik mereka ditempah dengan kadar sewa RM3,500 untuk dua minggu.
Salah seorang daripada mereka, Mohd. Saifullah Omar, 33, berkata, daripada 30 buah van jenis Toyota Hiace, tiga buah adalah miliknya dan ia sudah ditempah bermula 3 November.
“Kami tidak menyangka orang politik berebut-rebut untuk menyewa van selepas pembubaran Parlimen bulan lalu. Kesemua van kami jenis Toyota Hiace dan kadar sewaannya adalah RM3,500 sebuah bermula 3 hingga 21 November.
“Sebuah van itu mampu memuatkan sehingga 12 orang dan jentera parti politik ini menggunakan kenderaan sewa untuk kegunaan logistik selain pergerakan ke setiap lokasi untuk kempen PRU15,” jelasnya.
Katanya, jentera parti itu telah membuat bayaran penuh sebanyak lebih RM100,000 semasa membuat tempahan awal.
Menurutnya, dia bersyukur rezekinya bertambah bulan ini apabila ada parti politik yang menyewa van dalam tempoh lama.














