BAHANG Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin terasa selepas proses penamaan calon pada 5 November lalu apabila warna-warni bendera-bendera parti mula berkibar menghiasi jalan raya, manakala calon-calon dan parti-parti yang bertanding pula sibuk berkempen melaungkan pelbagai manifesto menarik bagi memenangi hati masyarakat untuk keluar mengundi.
Menariknya dalam PRU15, buat pertama kalinya dalam sejarah PRU, negara menyaksikan pertembungan sehingga 10 penjuru bagi merebut kerusi di Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selain sembilan dan lapan penjuru masing-masing di Ampang dan Bangi, Selangor.
Bukan itu sahaja, buat pertama kalinya juga negara menyaksikan penglibatan golongan muda dalam PRU selepas Undi18 mula diperkenalkan. Senario baharu yang mewarnai gelanggang PRU15 ini secara tidak langsung menunjukkan adanya penyuburan demokrasi di negara ini.
Bagi membincangkan isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis di pejabatnya di UiTM Kampus Seremban baru-baru ini.
Kosmo! Ahad: Sistem demokrasi di negara ini terus subur selepas hari penamaan calon pada 5 November lalu. Setakat ini, bagaimana saudara melihat kempen pilihan raya yang sedang giat dilakukan parti-parti politik?
MUJIBU: Selepas penamaan calon, biasalah permulaan kempen itu saya lihat sedikit perlahan tetapi untuk kerusi-kerusi panas saya lihat kempen itu meningkat sejajar perkembangan semasa.
Kita dapati memang kerusi-kerusi panas ini kempennya lebih hangat daripada tempat lain memandangkan itu merupakan kawasan tumpuan yang memungkinkan kita melihat pertembungan sebenar antara banyak parti-parti politik mainstream dan diwakili oleh tokoh-tokoh.
Ada kawasan menyaksikan sampai 10 penjuru. Bagaimanakah saudara melihat perkembangan ini?
Ada dua perspektif untuk melihat bagaimana pertembungan pelbagai penjuru ini boleh diterjemahkan. Satu dari aspek pemerhati yang neutral, ini kita boleh andaikan sebagai penyuburan demokrasi di mana selepas PRU14 demokrasi itu semakin terbuka dan kemunculan parti dominan yang satu masa dahulu kita panggil sebagai mendominasi politik kebangsaan itu tidak lagi berlaku.
Maka, ruang-ruang kosong inilah yang memungkinkan parti-parti politik bersaing melihat adanya ruang untuk mereka isi dan kebarangkalian menawarkan diri sebagai alternatif kepada rakyat. Maka, ini dianggap baik untuk proses pendemokrasian.
Cuma dari satu segi saya lihat apabila ini berlaku, sisi persaingan politik pilihan raya itu semakin sempit dan kian menekan terutama jika kita melihat aspek persaingan dalam konteks politik pilihan raya. Yang menekan itu politik angka terutamanya apabila kita bercakap tentang keperluan mana-mana parti politik untuk menang majoriti bagi membolehkan pembentukan kerajaan semakin tinggi.
Maka, aspek persaingan yang sebegini itu memperlihatkan banyak sisi negatif. Kita lihat bagaimana berlaku amalan buang dan kutip apabila ada ahli parlimen yang dibuang dikutip, ada yang dipancung diambil oleh parti lawan dan diletakkan sebagai calon.
Para pengundi dilihat lebih cenderung mengundi berdasarkan kredibiliti calon atau parti?
Apa yang kita boleh simpulkan terdapat tiga kategori pengundi iaitu muda (18-29 tahun), pengundi dewasa (30-49) dan pengundi veteran (50 dan ke atas) yang mana ketiga-tiga kelompok ini mempunyai set pola pengundian mereka sendiri.
Pengundi muda mungkin lebih bersifat isu maksudnya mengundi berdasarkan isu dan mereka ini pengundi progresif yang mana mereka mengundi berdasarkan kemahuan mereka, apa latar belakang pilihan raya pada ketika itu dan isu-isu yang melingkari senario pilihan raya, mungkin isu kebangsaan, ekonomi dan pendidikan.
Bagi kelompok pengundi dewasa pula mereka lebih banyak ke arah calon kerana golongan ini sudah biasa dengan PRU dan mungkin sudah dua atau tiga kali mengundi. Calon itu mungkin sudah biasa dengan individu tersebut atau mungkin mempunyai sentuhan peribadi seperti berkemungkinan dibantu mendapatkan biasiswa dan sebagainya ketika muda.
Berbanding mereka berumur 50 ke atas kerana mungkin sudah empat atau lima kali mengundi banyak melihat kepada parti yang mana pemikiran dan pengundian serta pola mereka ini dipengaruhi berdasarkan kesetiaan, keterikatan, sejarah dan kelompok. Maka, dia mengundi parti.
Dilihat beberapa calon ‘heavyweight’ menukar kawasan. Misalnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun, manakala Khairy Jamaluddin dari Rembau ke Sungai Buloh. Bagaimanakah saudara melihat perubahan ini? Mungkinkah akan memakan diri?
Ini dilihat dari pelbagai perspektif. Jika kita melihat kepada perubahan, itu dikaitkan dengan politik nomad. Mereka ini bergerak. Walaupun berubah kawasan tetapi demografi pengundi tetap sama dengan DUN atau kawasan yang lama.
Sebagai contoh apabila Anwar berpindah dari Permatang Pauh ke Port Dickson dan dari Port Dickson ke Tambun, kita melihat pergerakan itu kerana kawasan demografinya sama, yang mana pengundi lebih kritikal dan demografi pengundi Melayu dan bukan Melayu itu seimbang.
Jika kita lihat memang berlaku politik nomad ini yang mana Lim Kit Siang dari Ipoh ke Pulau Pinang dan kemudian Johor. Anda boleh lihat demografinya sama dan calon tidak akan bertanding pada demografi berbeza.
Berbanding Khairy, kita faham beliau sebelum ini bertanding di Rembau, Negeri Sembilan tetapi kerana memberi laluan dan itulah kerusi yang diberikan kepadanya di Sungai Buloh, Selangor, dalam aspek ini, mungkin terdapat dua perspektif sebagaimana diperkatakan orang yang mana ia merupakan satu langkah mahu membunuh kariernya secara terhormat memandangkan tidak ada kawasan yang mahu diberikan di Negeri Sembilan dan dihantar ke salah satu kubu kuat PKR.
Bagaimanapun dalam masa sama juga ini merupakan satu ujian untuk menguji apakah Khairy benar-benar tokoh yang ‘boleh jual’ di dalam BN yang memungkinkan BN merampas kerusi Sungai Buloh menggunakan kerusi politik personaliti beliau.
Ketika ini, kebanyakan parti sudah mula mengutarakan manifesto masing-masing kepada para pengundi. Bagaimanakah saudara melihat pentingnya manifesto?
Manifesto ini saya rasa merupakan satu komponen yang ada tidak mengapa, tiada pun tidak mengapa kerana secara umum rakyat tidak memperhatikan sangat manifesto disebabkan dua perkara.
Pertama, masalah dengan manifesto ini yang mana ia tidak mempunyai locus standi apabila tiada locus standi, sukar untuk rakyat mengambil parti politik untuk dipertanggungjawabkan bagi menunaikan manifesto ini.
Jika masih ingat dahulu ibu tunggal di Selangor membawa kerajaan negeri Selangor ke mahkamah kerana tidak menunaikan manifesto dan mahkamah tolak mentah-mentah. Sebab itu rakyat lihat tidak ada pun tidak mengapa.
Keduanya sudah tentulah parti-parti politik sendiri yang menjadikan manifesto seolah-olah tidak dihargai apabila mengatakan manifesto bukan kitab suci. Jadi, dua perkara ini yang menjadi pertimbangan buat rakyat bahawa manifesto ini sekadar ada.
Sekarang ini orang melihat manifesto sekadar menambahkan hype atau menaikkan suasana serta menambah seri kepada parti-parti yang bertanding sahaja.
Selepas PRU14, para pengundi dilihat sukar untuk mempercayai setiap tawaran yang dibuat dalam manifesto. Ramai anggap ia untuk raih undi semata-mata. Minta sedikit ulasan mengenai hal ini?
Ya saya setuju itu adalah satu hakikat apabila kita turun ke padang, ramai tidak percaya atau peduli mengenai manifesto yang dikeluarkan parti secara umum berbanding janji yang dibuat secara peribadi oleh calon kepada mereka dalam kawasan masing-masing.
Itu lebih dipercayai dan mereka kata janji calon itu sendiri lebih senang disemak berbanding mahu menyemak secara umum.
Sekiranya tidak ada parti yang berjaya mendapat majoriti mudah para PRU ini, ramai penganalisis menjangkakan berlaku penggabungan antara blok-blok politik. Benarkah?
Ini kita sudah jangka. Bila majoriti menjadi persoalan, maka perlu kepada penggabungan.
Formulanya mudah mana-mana parti terutamanya yang mendapat undi Melayu yang terbesar, mungkin akan ada hak dalam menentukan gabungan mana yang boleh membentuk kerajaan sebab kita melihat kapasiti kerusi-kerusi Melayu ini masih lagi besar dan saingan kerusi Melayu ini tidak seperti dahulu kerana dahulu memang UMNO solid boleh dapat, tetapi sekarang ini masih ada Perikatan Nasional dan mungkin juga Pakatan Harapan.
Boleh ceritakan kebaikan dan keburukan kepada negara jika sesebuah parti itu berjaya meraih majoriti dua per tiga?
Dua per tiga membolehkan mana-mana parti yang membentuk kerajaan itu fokus kerana apa yang berlaku pada 2018 dan 2020, ini disebabkan parti-parti politik itu terpaksa membentuk satu kerajaan yang rapuh kerana tiada majoriti dan masing-masing tidak sempat fokus kerana masalah yang bertimpa-timpa, pertamanya Covid-19 dan kedua pertukaran kerajaan yang mendadak. Jadi perkara-perkara beginilah dan kita lihat kestabilan politik itu tidak dicapai dan berlaku pertukaran kerajaan di negeri-negeri kerana soal majoriti.
Dari satu segi dua pertiga yang tidak bagus pula jika kerajaan itu terlalu selesa, maka dia akan take for granted for everything.
Namun, andaian bahawa perlu dua per tiga untuk mendapatkan kestabilan politik itu juga tidak benar kerana kita tengok Ismail Sabri ketika menjadi Perdana Menteri, dia boleh buat apa yang tidak pernah jadi ketika mana-mana kerajaan punyai majoriti dua pertiga. Apa yang tidak jadi itu? MoU dengan pembangkang.
Ini penting kerana motion of confident and supply itu boleh dibentuk jika ada kerjasama. Maksudnya, jika semua 222 ahli parlimen boleh bekerjasama, bersatu hati dan menganggap semua yang ada itu adalah musuh profesional, bukan ahli parti tetapi ahli parlimen yang tugasnya membuat dasar dan sama-sama berbahas dengan baik, maka itu boleh jadi.














