fbpx

SPRM sedia siasat dakwaan Rafizi berhubung projek RM2 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam (tengah) ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan Sempena Hari Keputeraan, Sultan Muhammad V Kali Ke-53 di Istana Balai Besar, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia melakukan siasatan terhadap dakwaan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion di Sungai Langat 2 sekiranya dakwaan itu berasas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang laporan secara rasmi mengenai perkara tersebut, namun pihaknya sudah mengambil maklum mengenai kes terbabit.

Menurutnya, SPRM kini mengambil perhatian terhadap segala maklumat yang diterima termasuk laporan disiarkan di media.

“Selain itu, SPRM mengalu-alukan kedua-dua belah pihak termasuk Rafizi dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk memberi keterangan jika mereka bersedia.

“Saya difahamkan perkara ini telah dinafikan oleh Tuan Ibrahim dan surat tuntutan (Letter Of Demand) telah dikemukakan kepada Rafizi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri Kelantan Sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V Kali Ke-53 di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Azam memberitahu, sekiranya perkara itu dapat dibuktikan kebenaran oleh Tuan Ibrahim, tiada keperluan untuk SPRM menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, beliau bersedia mengemukakan bukti berhubung dakwaan terbabit kepada SPRM.

Katanya, bagaimanapun, beliau sudah memberi notis menuntut Rafizi membuat permohonan maaf selama tujuh hari jika tiada penjelasan laporan polis akan dibuat.

Terdahulu, Rafizi pada satu sidang akhbar menuntut penjelasan daripada Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI