fbpx

PRU15 bukan mudah, Lenggong perlukan BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shamsul Anuar (kanan) beramah mesra dengan jentera BN dan pengundi ketika melakukan lawatan di ESRA Kota Tampan, Lenggong baru-baru ini.

LENGGONG – Orang muda yang layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) perlu disantuni dan tidak boleh dipandang mudah kerana mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan penting yang akan memilih pemimpin negara.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pengundi muda dilabelkan sebagai bijak dan perlu didekati untuk diberi penerangan selengkapnya supaya mereka dapat membuat pilihan yang tepat.

Kata penyandang kerusi Parlimen Lenggong itu, nasib calon yang bertanding pada PRU15 ditentukan oleh golongan berusia antara 18 hingga 20 tahun tersebut.

Jelasnya, pengundi muda yang berdaftar dianggarkan berjumlah 1.2 juta ketika ini.

“Jentera BN perlu bijak mendekati mereka dan perkara ini tidak boleh dipandang mudah.

“Kita perlu menggunakan peluang yang ada seluas-luasnya bagi mendampingi mereka melalui penganjuran aktiviti belia, pertukaran maklumat dan pandangan mengenai isu semasa, sukan, pelancongan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Anuar, beliau tidak menganggap pertandingan kali ini mudah walaupun Lenggong merupakan kubu kuat BN sebaliknya akan terus bekerja keras dengan menemui seramai mungkin pengundi sebelum 19 November ini.

“Rakyat perlu mengundi BN pada PRU15 supaya negara terus maju, stabil dan makmur. Bukan seperti pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan yang gagal dan merugikan negara,” katanya.

Parlimen Lenggong menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Shamsul Anuar bakal berdepan dengan calon PN, Muhamad Rif’aat Razman (Pas) dan calon PH, Jurey Latiff Rosli (PKR).

Seramai 36,950 pengundi berdaftar, layak mengundi di Parlimen Lenggong pada PRU15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI