BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan pukat tunda kelas B bersama tiga kru warga Myanmar di perairan Kuala Kurau sekitar pukul 10.30 pagi, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, penahanan tersebut dibuat pasukan bot peronda APMM setelah mengesan bot terbabit dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, ia dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan sebelum pihaknya merapati bot itu untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga kru warga Myanmar termasuk tekong berusia antara 33 dan 34 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di atas bot.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu memiliki lesen yang sah namun tekong gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Mohd. Najhan berkata, bot terbabit tidak diusahakan sendiri pemiliknya, manakala turut ditemui semasa pemeriksaan ialah 40 kilogram hasil ikan baja.
“Kesemua kru, bot, hasil ikan campur dan peralatan menangkap ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Ujarnya, ia turut disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dengan tidak mempunyai kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta bot tidak diusahakan sendiri pemiliknya. – KOSMO! ONLINE














