fbpx

Bapa, anak lelaki jadi tauke ganja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMARUL ZAMAN menunjukkan rampasan ganja bernilai RM542,674.00 pada sidang akhbar di IPK Johor Bahru.-Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang didalangi seorang bapa dan anak lelakinya terbongkar setelah mereka bersama lima ahli sindiket yang lain ditahan dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru, di sini.

Dalam serbuan yang dilakukan pada Khamis dan Jumaat lalu, polis merampas kira-kira 216 kilogram (kg) bernilai RM540,257 susulan penahanan tujuh suspek termasuk dua orang remaja perempuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 10 malam, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menahan dua remaja lelaki di tepi jalan di Taman Pelangi.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dijalankan telah membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Abad yang dijadikan membungkus ganja itu dalam bungkusan kecil.

“Dalam serbuan itu, polis menahan anak dalang tersebut bersama seorang remaja lelaki dan dua remaja perempuan berusia 18 tahun. Rumah itu dijadikan tempat membungkus ganja itu.

“Hasil siasatan lanjut ke atas suspek remaja itu membawa kepada penahanan bapanya setelah serbuan dilakukan di sebuah rumah sewa di Bandar Tiram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, dalam serbuan ketiga itu polis menjumpai beberapa bungkusan dadah ketika menahan lelaki berusia 47 tahun itu.

Katanya, penahanan tersebut membawa kepada serbuan terakhir di sebuah rumah teres di Taman Puteri Wangsa, di sini yang dijadikan tempat penyimpanan ratusan ketulan mampat dadah jenis ganja.

“Modus operandi sindiket yang beroperasi sejak Ogos lalu ini ialah dengan mendapatkan bekalan dadah dari kawasan utara negara yang dihantar menggunakan pengangkutan awam dan perkhidmatan kurier,” katanya.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI