fbpx

PRU15: Hasni Mohammad lawan Maszlee Malik di Simpang Renggam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HASNI MOHAMMAD akan mencabar Maszlee Malik untuk BN rampas kerusi Parlimen Simpang Renggam, Kluang.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad menggesa rakyat khususnya pengundi di negeri ini untuk menolak janji-janji manis yang ditabur parti lawan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hasni yang juga merupakan Pengerusi UMNO Johor sebaliknya berkata, BN tidak akan membuat sebarang janji manis, sebaliknya setiap perkara yang dijanji akan dikota.

“Kita tidak buat janji manis, yang hanya seperti menanam tebu di bibir, cukuplah yang ada memiliki darah tinggi dan kencing manis. Kerana janji manis pembangkang hanya akan bawa mudarat kepada rakyat.

“Sebaliknya kita mahukan sesuatu yang realistik, dan dalam tempoh enam bulan BN kembali mentadbir Johor, pelbagai kejayaan telah berjaya dilakar. Kejayaan Johor akan memberikannya kesan domino kepada kejayaan di peringkat pusat.

“Janji Pakatan Harapan (PH), porah, itu hanya janji manis semata-mata,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera BN Johor bagi PRU-15 yang diadakan di Pusat Sukan EduCity, di sini malam semalam.

Dalam pada itu, Hasni yang merupakan calon Parlimen Simpang Renggam turut ‘berterima kasih’ kepada Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah kerana memberi beliau laluan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya perlu buat ‘special mention’ kepada Datuk Zakaria Dullah kerana memberi laluan kepada saya. Dan saya rasa jika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atau Datuk Seri Razali Ibrahim berucap di pentas ini, mereka juga mungkin akan berbuat perkara yang sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pula memberitahu, kerajaan negeri komited dalam melaksanakan kesemua inisiatif yang telah dijanjikan pihaknya menerusi Ikhtiar Johor sempena PRN lalu.

“Apa yang kita janjikan semestinya satu perkara yang akan kita kotakan, ia sudah, sedang dan akan dilaksanakan kerajaan negeri.

“Dalam hanya tempoh tujuh bulan, kerajaan negeri kita sudah melaksanakan 13 ikhtiar, dalam pelaksanaan 28 ikhtiar dan dalam perancangan 25 ikhtiar.

“Antara perkara yang telah selesai ialah Johor menjadi lembah digital selatan, dalam tempoh setengah tahun kita sudah merekodkan RM60.9 bilion nilai pelaburan, tertinggi dalam negara.

“Semua pelabur sama ada dari Singapura, Amerika Syarikat, China dan negara-negara Eropah, semua menyatakan mereka berminat untuk membuat pelaburan kerana kita (Johor) mempunyai kestabilan politik,” katanya.

Sehubungan itu, Onn Hafiz yang juga merupakan Menteri Besar Johor menyeru rakyat negeri ini untuk memberikan mandat kepada BN dalam PRU-15 ini untuk memastikan kerajaan negeri dan pusat selari sekaligus membantu pembangunan negara dan negeri.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI