fbpx

MPN prihatin isu aliran tunai yang dihadapi PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keprihatinan kerajaan membantu PMKS memberi peluang mereka kembali bangkit daripada impak negatif pandemik. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Usaha pemulihan ekonomi Malaysia pasca Covid-19 berkait rapat dengan pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana golongan ini dianggap sebagai pemacu perkembangan pelaburan domestik di negara ini.

Pun begitu, dalam mencapai pemulihan, PMKS kini dilihat berdepan masalah aliran tunai setelah kira-kira dua tahun tidak dapat beroperasi secara penuh dan ramai yang mengaku kekurangan modal untuk mengembalikan perniagaan masing-masing ke tahap sebelum pandemik.

Isu ini antara yang sering kali dibincangkan di mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) kerana ia mampu menjejas dan merencatkan proses pemulihan.

Sebagai langkah penyelesaian, MPN telah mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama penglibatan Kementerian Kewangan (MOF) dan Bank Negara Malaysia (BNM) memudahkan pinjaman serta mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada pengusaha PMKS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob, PMKS paling teruk terjejas disebabkan pandemik berbanding syarikat multinasional yang boleh bergerak dengan kos pekerja lebih rendah.

“Kami mahu mereka berkembang kepada syarikat peringkat pertengahan dan seterusnya menyokong syarikat multinasional serta menjadi pemain industri global,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan tersebut, pemilik Beruang Garage iaitu sebuah bengkel automotif di Ampang, Muhammad Nurzaim Zainal, 32, menerangkan, peniaga sememangnya tidak dapat lari daripada berdepan isu aliran tunai sewaktu pandemik kerana bisnes tidak dapat dibuka seperti biasa.

Muhammad Nurzaim

“Saya berdepan kesukaran untuk memenuhi komitmen bayaran bulanan seperti sewa dan gaji pekerja, sehingga terpaksa berbincang dengan kakitangan supaya hanya mengambil gaji berdasarkan pekerjaan yang dilakukan, selain membantu mereka mencari pendapatan sampingan.

“Bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 yang diterima, meskipun tidaklah mencukupi, namun diakui amat membantu dalam situasi yang sukar dan memerlukan ketika itu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Pada masa sama, Muhammad Nurzaim tidak memilih untuk mengambil sebarang moratorium dan bantuan bayaran balik pinjaman yang ditawarkan kerana gusar akan sebarang kos tambahan kepada pinjaman, selain tidak begitu pasti dengan masa depan perniagaannya dalam situasi ekonomi yang begitu mencabar.

Beliau lebih selesa mengorek tabung dan memanfaatkan simpanan yang telah sedia diperuntukkan untuk situasi di luar jangka.

“Namun, sekiranya kerajaan memilih untuk memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS, saya amat bersetuju kerana rata-rata pengusaha bengkel memang amat bergantung kepada pembiayaan untuk membeli peralatan dan mesin.

“Kalau boleh, saya harap moratorium itu nanti tidak melibatkan sebarang faedah dan pertambahan tempoh bayaran balik pinjaman tidak akan menjadi terlalu panjang,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga di Medan Selera Kampung Pandan, Kuala Lumpur, Ayob Abd. Majid, 58, bercerita, beliau terpaksa menutup restoran yang diusahakannya di Kampung Baru ketika pandemik kerana berdepan isu aliran tunai dan tidak mampu membayar sewa.

Ayob

 

Jelasnya, beliau memanfaatkan GKP yang disalurkan kerajaan untuk memulakan perniagaan makanan yang dimasak di rumah, sebelum memindahkan operasi ke Kampung Pandan setelah ekonomi negara kembali dibuka secara beransur-ansur.

“Walaupun selepas PKP, saya lihat perniagaan masih belum pulih sepenuhnya, biasalah berniaga sentiasa ada pasang surut. Bisnes ini banyak bergantung kepada strategi pemasaran untuk memperkenalkan produk dan memviralkan menu masakan kita,” katanya.

Ayob yang juga merupakan Presiden Persatuan Ekonomi Penjaja Ampang berkata, beliau banyak mendengar rungutan rakan-rakan peniaga yang berdepan isu aliran tunai dan bermasalah dalam membayar balik pinjaman ketika ini.

“Peniaga kecil seperti kami memang kebiasaannya ada membuat pinjaman, seperti daripada Tekun Nasional.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu mereka tidak pernah meminta kami membuat pembayaran, namun ketika ekonomi sudah dibuka semula sekarang, ada ramai peniaga yang masih tidak mampu membuat pembayaran kerana ketiadaan modal untuk bermula semula.

“Saya amat bersetuju sekiranya kerajaan memudahkan pinjaman serta mempertimbangkan lanjutan pemberian moratorium kepada peniaga yang benar-benar memerlukan, cuma kalau boleh jangan biarkan orang yang tidak berkenaan ambil kesempatan daripada kemudahan ini.

“Sebagai orang Islam, kita semua faham keperluan untuk menjelaskan hutang dan bantuan seperti ini amat membantu peniaga untuk membayar semula semua pinjaman yang telah dibuat di kemudian hari,” ujarnya.

Kici Kasri

Bagi Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nizaf Mover & Logistics Sdn. Bhd., Kici Kasri, 41, semua perniagaan pasti terkesan dan berdepan masalah tunai sewaktu pandemik, jadi strategi yang betul perlu dirangka untuk mengawal situasi berkenaan.

Nizaf Mover merupakan syarikat yang memfokuskan kepada pekerjaan, telah memberi bayaran secara tunai serta mengurangkan gaji pengurusan atasan.

“Sekarang pun, kami masih berada dalam program bantuan bayaran balik pembiayaan, namun pembayaran gaji sudah kembali seperti sedia kala,” katanya.

Kici berkata, ketika ekonomi sudah mula dibuka sepenuhnya, syarikat ada menyaksikan peningkatan jualan, namun isu aliran tunai tetap ada disebabkan peningkatan kos dan kenaikan gaji minimum pekerja.

“Pada masa sama, kami ada membuat pembiayaan baharu untuk mengembangkan perniagaan, termasuk melibatkan pembelian sebuah gudang baharu di Bandar Baru Bangi.

“Sekiranya kerajaan bersetuju memberikan moratorium kepada PKS, saya kira tempoh moratorium selama setahun cukup untuk membantu memulihkan perniagaan dan sekiranya boleh, biarlah ia diberikan tanpa melibatkan sebarang pertambahan kadar faedah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI