fbpx
NAZREY berkata, dia bersedia bertemu empat mata dengan anggota Raihan bagi menyelesaikan kemelut berpanjangan yang melanda hubungan mereka sejak sekian lama.

100,000 pengikut TikTok, saya akan jumpa Raihan – Nazrey

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – “Sekiranya pengikut akaun TikTok mencecah 100,000, saya berjanji akan bersemuka dengan kumpulan Raihan bagi meleraikan ‘hubungan tergantung’ antara kami.”

Itu pengakuan penyanyi nasyid terkenal, Nazrey Johari mengenai kesediaannya untuk bertemu dengan kumpulan yang pernah dianggotainya, Raihan bagi menyelesaikan segala permasalahan antara mereka selama ini.

Katanya, antara faktor dia mengambil keputusan tersebut adalah kerana khuatir dengan Konsert Garis Masa Raihan yang dijangka berlangsung pada 26 November depan.

“Sejak kebelakangan ini, saya terfikir untuk berdepan dan bertanya sendiri dengan mereka jika masih ada masalah antara kami.

“Isu ini tidak akan habis sampai bila-bila. Apabila kisah keluar Raihan viral semula, saya berjanji akan bertemu dengan mereka dan membuat siaran langsung dalam TikTok sekiranya jumlah pengikut mencecah 100,000,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditemui pada malam Konsert Nasyid Legenda baru-baru ini, dia berharap pertemuan tersebut berjaya direalisasikan bagi menyelesaikan semua perkara yang terbuku di dalam hati.

“Biarlah saya rendahkan diri, pergi cari mereka dan bertanya secara berdepan. Semua ini tidak akan selesai selagi tidak berjumpa.

“Sebenarnya saya risau mengenai konsert Raihan nanti. Kemungkinan konsert tersebut membabitkan saya tetapi belum tentu jadi.

“Tolong doakan saya dapat berjumpa mereka dan berbincang dari hati ke hati. Saya akan bantu apa yang boleh ditolong,” katanya lagi.

Raihan mengumumkan bakal mementaskan Konsert Garis Masa Raihan di Stadium Malawati, Shah Alam dengan sasaran 7,000 penonton pada 26 November depan.

Konsert mega istimewa tersebut sempena ulang tahun ke-26 Raihan dalam industri muzik tanah air.

Kali terakhir kumpulan nasyid popular itu mementaskan konsert adalah pada 2000.

Terdahulu, Nazrey tampil berkongsi cerita tentang ‘perpisahannya’ dengan Raihan selepas lebih 14 tahun bersama.

Kongsi penyanyi itu, pengundurannya dari Raihan berlaku selepas dia menerima ‘bisikan’ untuk terus berdakwah di jalan Allah SWT.

Tetapi sehingga hari ini, Raihan yang dianggotai Abu Bakar, Che Amran dan Amran Ibrahim tidak pernah mengulas lanjut atau memberi maklum balas tentang kesudian mereka menerima Nazrey kembali sebagai anggota. – KOSMO! ONLINE

POPULAR