MASIH basah dalam ingatan Umi (bukan nama sebenar) mengenai apa yang terjadi dalam layar bahtera rumah tangganya akhir tahun lalu.
Pernikahan yang dibina atas dasar cinta dan kasih sayang bersama suami iaitu Rahim (bukan nama sebenar) sejak 30 tahun lalu berakhir begitu sahaja.
Cerita Umi, dia dan bekas suaminya yang sama-sama menjawat jawatan sebagai pendidik di sekolah mula berkenalan antara satu sama lain ketika sama-sama menuntut di sebuah maktab di utara tanah air.
Kata Umi, sebaik sahaja tamat pengajian selama lima tahun, dia dan Rahim mengambil keputusan untuk menikah dan melalui fasa baharu sebagai suami isteri.
“Mungkin sudah ditakdirkan rezeki, kedua-dua kami diminta untuk melaporkan diri di negeri sama iaitu di Selangor.
“Bezanya cuma kami tidak sama sekolah. Mata pelajaran yang diajar kami juga tidak sama.
“Saya mengajar Pendidikan Islam dan mesra disapa sebagai ustazah dalam kalangan guru dan murid-murid,” ujarnya membuka bicara bersama K2.
Meneruskan tutur kata, Umi memberitahu, tidak sampai setahun bernikah, dia dan suami mendapat berita gembira yang tidak disangka-sangka.
Jelasnya, dia disahkan hamil anak pertama dan ketika pemeriksaan kesihatan dilakukan, usia kandungan sudah pun mencecah dua bulan.
“Alhamdulillah kehadiran anak sulung yang merupakan seorang putera memberi sinar dan kebahagiaan berganda dalam rumah tangga kami.
“Kembara bahtera pernikahan kami berlalu dengan begitu lancar, baik dan dipermudahkan Allah dalam segala hal.
“Selepas hampir 30 tahun mendirikan rumah tangga, kini kami sudah mempunyai empat orang cahaya mata.
“Semuanya sudah besar belaka. Anak sulung kami juga sudah mencecah usia 30 tahun dan turut mengikut jejak langkah kami sebagai guru,” katanya.
Benar kata pepatah, disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Itu situasi ‘kelam’ yang mula menyelubungi hidup Umi sejak tahun lalu.
Tanpa segan silu dan langsung tidak berniat membuka aib suaminya, Umi memberitahu, dia mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu.
Katanya, dia mula merasakan kasih sayang suaminya sudah tidak sama seperti fasa awal mereka bernikah dan dikurniakan cahaya mata.
“Saya mula perasan dan hidu sesuatu yang tidak kena dengan suami sejak Mei tahun lalu. Dia (suami) lain macam sangat.
“Paling buatkan saya terkejut apabila suami yang juga merupakan seorang guru besar membawa pulang dan memperkenalkan seorang pemuda berusia sekitar 25 tahun, sebaya dengan anak ketiga kami ke rumah.
“Beritahu suami kepada saya, lelaki itu merupakan anak angkatnya yang dikenali beberapa bulan lalu di sebuah kedai makan tempatnya bekerja.
“Saya dan anak-anak menerima dengan hati terbuka pemuda bernama Nazim (bukan nama sebenar) itu sebagai sebahagian daripada ahli keluarga kami. Sifat dan peribadi Nazim juga membuatkan kami senang dan tidak canggung dengannya,” tuturnya.
Pun begitu, ujar Umi, sifat suaminya yang selama ini seorang lelaki tidak banyak cakap dan tampak alim sejak dikenali lebih 30 tahun lalu itu mula berubah dan jelas terpancar.
Katanya, suaminya yang sebelum ini jarang sekali keluar rumah dan lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga mula bertukar dan menunjukkan ‘taring’ sebenar.
“Bukan saya seorang yang perasan, tetapi keempat-empat anak saya juga rasa dan nampak perkara sama perubahan suami.
“Suami yang dahulunya bukan kaki ‘merayap’ sudah mula pandai balik lewat malam. Kalau dahulu, selalu kami solat berjemaah, tetapi kini boleh dikira dengan jari.
“Bila ditanya, suami cuma beritahu keluar dengan Nazim dan hanya menemaninya untuk makan bersama selepas habis waktu kerja.
“Kata suami lagi, dia kasihankan Nazim yang tinggal bersendirian di ibu kota kerana keluarganya jauh di Miri, Sarawak.
“Enam bulan mengenali anak angkatnya itu, suami memang berubah 360 darjah. Dia seakan-akan ‘angau’ dan lupa diri akan peranannya sebagai ketua keluarga terutama kepada darah dagingnya sendiri,” dedah Umi mengenai suaminya yang berusia 50-an.
Lanjut Umi yang bakal menamatkan perkhidmatannya sebagai guru tahun depan, Allah seakan-akan mendengar doanya dan menghantar anak lelaki sulungnya sebagai saksi kepada apa yang disorokkan suaminya selama ini.
“Anak beritahu saya, suami selalu keluar masuk hotel bersama Nazim.
Tidak setakat itu, suami juga dikatakan turut menyewakan sebuah apartmen tidak jauh dari rumah tempat kami tinggal sekali gus memudahkan pertemuan mereka saban hari.
“Apa yang membuatkan saya betul-betul kecewa dan tawar hati untuk mempertahankan hubungan kami sebagai suami isteri apabila terdapat beberapa bukti kukuh perbuatan terkutuk suami bersama anak angkatnya itu.
“Ya, perbuatan terkutuk. Perbuatan yang melanggar hukum hakam dan lumrah manusia beragama Islam. Saya betul-betul tidak percaya dengan apa yang dilakukan suami yang tiba-tiba berubah sedemikian rupa dalam sekelip mata,” luahnya lagi.
Atas perbincangan bersama anak-anak dan keluarga terdekat selepas memikirkan baik buruk, Umi memberitahu, dia nekad untuk berpisah dengan suami dan membawa haluan hidup masing-masing meskipun sudah berpuluh tahun hidup bersama.
Kata Umi lagi, setelah berpisah ketika Ramadan sekitar April lalu, dia jauh lebih tenang dan bahagia bersama anak-anak serta berjanji tidak akan pernah memutuskan tali silaturahim antara mereka dan bapanya.
Doa dan harapan Umi tidak banyak, cukuplah ‘syurga’ yang dikenalinya lebih tiga dekad dan berperwatakan islamik itu kembali ke jalan benar serta bertaubat dan keluar dari dunia ‘fantasi’ yang kini merantainya.














