fbpx

Malam penuh cinta Ernie, Syamel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPERTI merpati dua sejoli yang saling mendendangkan sebuah kisah cinta penuh emosi, begitulah Syamel dan Ernie melantunkan rasa dan jiwa dalam Konsert Aku Cinta mereka baru-baru ini.

“Terima kasih kerana berada di sini. Anda boleh pilih untuk berada di tempat lain tetapi anda lebih memilih untuk berada di sini.”

Itu ungkapan dari bibir Syamel sewaktu berdiri di pentas Konsert Aku Cinta sebagai tanda terima kasih buat peminat yang hadir menyaksikan konsert sulungnya bersama isteri, Ernie Zakri di Zepp, KL, baru-baru ini.

Konsert Aku Cinta merupakan pencapaian hebat buat artis terkenal Syamel dan Ernie sepanjang berada dalam industri hiburan.

Kali pertama mengadakan konsert berdua, pasangan bersuara lunak terharu dengan sokongan padu daripada peminatnya sehingga penjualan tiket dikatakan habis terjual.

“Untuk mengadakan konsert tersendiri pun dah mula risau apatah lagi bila dapat tahu penjualan tiket habis. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan kami.

“Keluar saja dari pentas dan melihat suasana yang dipenuhi dengan sorokan penonton kami sangat gembira sampai gagap juga tengok sokongan yang sangat padu,” ujar pelantun lagu Hidup Dalam Mati itu.

Tidak hanya dibanjiri peminat tegar, ramai dalam kalangan rakan artis turut sama turun padang memberi sokongan kepada Syamel dan Ernie.

Sudah tentu, penyanyi terkenal yang juga bapa dan ibu saudara Ernie iaitu Anuar Zain dan Ziana Zain tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan hebat pasangan suami isteri itu.

Kehadiran Misha Omar, Aina Abdul dan beberapa artis lain turut menjadi saksi sejarah buat Ernie dan Syamel.

Tepat pukul 8.30 malam, kelibat Ernie dan Syamel kelihatan di atas pentas yang sudah bersedia untuk menghangatkan suasana Zepp KL dengan lagu pertama mereka Aku Cinta yang pernah memenangi Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu ke-32.

Selaku penyanyi yang mempunyai pengalaman lebih kurang 20 tahun dalam industri, pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri, 30, berkongsi detik terindah atas penganjuran konsert yang menjadi idaman terutamanya buat para penghibur seni.

“Saya akui ini adalah detik yang sangat indah buat saya ditambah pula konsert pertama bersama suami, jadi keseronokan berganda.

“Ini perkara yang saya impikan dan sudah tertunai. Jika ada kesilapan, harap dibuang jauh- jauh. Apa yang lebih penting apa yang kami dapat sampaikan semua orang dapat rasa,” katanya.

Lebih indah, segmen solo Ernie dan Syamel merancakkan lagi kehangatan Konsert Aku Cinta.

Ernie mengejutkan para peminat dengan single Misteri yang jarang dibawakan ke pentas.

Malah, tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan Zepp, KL apabila dia selesai menyanyikan lagu Ku Bersuara. Dengan susunan lagu yang berbeza ditambah pula dengan nyanyian soprano, Ernie dianggap setaraf penyanyi antarabangsa.

Kehebatan vokal pasangan ini tidak disangkal lagi apabila berjaya membawakan semua lagu dengan sempurna disertakan kecekapan menukar tiga pakaian sewaktu persembahan berlangsung lebih kurang dua jam itu.

ERNIE ZAKRI, seorang guru vokal dengan pesona yang cukup melayakkan dirinya tersanjung sebagai penyanyi handalan.

Dedikasi buat ibu

Dalam segmen solo, Syamel turut menyampaikan lagu Bila Kau Tiada ayng didedikasikan khas buat arwah ibunya, Wan Faaizah Karim.

Berapa kali terhenti seketika sebelum meneruskan nyanyiannya, sebak dari dada Syamel turut membasahkan emosi penonton.

“Saya sudah menangis semasa latihan dan pada ketika itu tiada tayangan gambar umi (panggilan untu ibunya) di belakang.

“Lain pula jadinya semasa hari kejadian, apabila saya terpusing dan nampak klip foto umi. Saya bayangkan umi berada di situ kerana memang niat saya untuk bawa dia ke konsert saya,” ujar Syamel .

Lagu Bila Kau Tiada sememangnya dicipta khas buat arwah ibunya yang telah meninggal dunia tahun lepas.

“Saya sedih, ayah lagi sedih,” ujar Syamel pendek usai persembahan lagu berkenaan.

Tidak berlama-lama dengan kisah duka, Syamel kemudian kegembiraan dengan lagu terbaharunya, Bahagia Milik Kita.

Menurut Syamel, dia terfikir menghasilkan lagu sedemikian dek terlalu sinonim dengan lagu patah hati.

Lebih istimewa lagu tersebut didedikasikan buat suri hati dan zuriat cintanya, Ernie dan si kecilnya, Nur Khawla Soleha.

“Boleh dikatakan konsert ini kisah cinta untuknya. Dia memang satu-satunya punca kami berhasil mengadakan sebuah konsert,” ujar pelantun lagu Gundah.

Konsert Aku Cinta boleh dikatakan sebagai satu tanda aras buat Ernie dan Syamel, mungkin juga satu penjenamaan untuk banyak lagi perjalanan ‘pentas’ mereka pada hari muka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI