fbpx

Kodi Rasheed tertekan bawa watak baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GEMARKAN cabaran, Kodi Rasheed mahu meneroka lebih banyak watak dalam lakonannya.

PETALING JAYA – Terkenal dengan watak antagonis, pelakon Kodi Rasheed mengakui berasa tertekan apabila dia kini terus diberi kepercayaan menjayakan watak berlawanan iaitu protagonis.

Kodi atau nama sebenarnya Mohd. Zhazmeer Mohd. Rasheed, 32, berkata, dia agak bergelut untuk mendalami watak baik tetapi suka mencabar diri dengan perkara baharu.

Pelakon itu berkata demikian merujuk kepada watak lakonannya dalam telefilem Halimun sebagai seorang ustaz yang memiliki keupayaan melakukan rawatan perubatan Islam.

“Nampak macam tidak bergelut tetapi sebenarnya dalaman saya ‘koyak’ hingga stres.

“Saya berhati-hati kerana tahu keserasian Beto Kusyairy dan Nabila Huda yang sangat kuat dalam naskhah ini. Jadi, saya tidak boleh buat sambil lewa,” katanya.

Ujar Kodi, demi watak itu, dia melakukan kajian mendalam sehingga tidak cukup tidur semata-mata untuk memberi persembahan terbaik dalam lakonannya.

Bagaimanapun katanya, dia mahu keluar dari bayangan watak tipikal selama ini kerana bimbang penonton akan bosan dengan lakonannya.

“Mungkin pada mulanya saya buat karakter antagonis dan berjaya, jadi orang sudah percaya sehingga tidak bagi peluang untuk cuba yang lain.

“Saya tidak bosan tetapi takut buat benda yang sama (watak antagonis) akan buatkan penonton bosan.

“Alhamdulillah kali ini dapat pengarah Muzzamer Rahman dan dia cuba memberikan cabaran buat saya,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada majlis tayangan telefilem Halimun baru-baru ini.

Halimun yang turut dibintangi Chubb-E, Harun Hashim dan Puteri Balqis akan mula menemui penonton menerusi saluran Astro First pada 5 November ini.

Sementara itu mengulas tentang hala tuju kariernya, pelakon Ijab Kabut itu mengakui dia mula membuat pemilihan watak yang mencabar dirinya sebagai seorang anak seni.

Baginya, sesuatu watak itu penting bagi mengasah bakat yang ada supaya dapat menonjolkan lagi lakonan selain karakter antagonis yang selalu menjadi ‘makanannya’.

“Saya nak cuba pelbagai watak untuk jadi fleksibel. Saya sudah mula buat pemilihan watak yang menarik.

“Kalau ditawarkan watak antagonis, menarik dan belum pernah buat sebelum ini, saya akan terima,” ujar Kodi.

Menurut Kodi lagi, dia juga tidak mempunyai watak kegemaran kerana sukakan cabaran dan perkara yang boleh ‘merosakkan’ jiwanya.

“Watak yang saya idamkan dan sedang dipelajari adalah karakter personaliti berbeza.

“Saya suka benda-benda begitu yang boleh buat dalaman saya sakit. Saya akan kaji karakter tersebut hingga tidak tidur,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI