fbpx

Daripada jurutera kepada usahawan bertih jagung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anis Husna menunjukkan produk bertih jagung Hangkoot yang berjaya dipasarkan secara meluas di Perak.

Niat asalnya hanya mahu membantu suami mencari pendapatan sampingan bagi meningkatkan taraf hidup keluarga.

Tidak terlintas di hati Anis Husna Anuar, 31, untuk terlibat secara serius dalam dunia perniagaan tambahan lagi dia sendiri mempunyai kerjaya yang stabil sebagai jurutera produk di sebuah kilang elektronik.

Namun siapa sangka, niat murni itu menjadi titik tolak ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini untuk menceburi bidang perniagaan sehingga bergelar usahawan bertih jagung di bawah jenama ‘Hangkoot’

“Selain mahu menolong suami mencari pendapatan sampingan, titik tolak saya ketika itu juga adalah kerana anak.

“Sebagai seorang ibu yang bekerja, sukar untuk saya memberi tumpuan kepada anak jika dia tidak sihat. Ketika itu, setiap bulan anak demam dan hati saya tidak tenteram apabila di tempat kerja,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di sini baru-baru ini.

Tambah Anis Husna, idea untuk berniaga bertih jagung itu bermula daripada suaminya, Hazril Izzham Roszairi, 29, yang merupakan penggemar kudapan tersebut.

Mereka berdua kemudian belajar cara menghasilkan bertih jagung itu daripada seorang rakan sehingga akhirnya berkeyakinan untuk memasarkan produk berkenaan di pasaran semasa.

“Memang diakui pada fasa permulaan, kesukaran memang ada. Cita-cita kami besar untuk memiliki premis dan mesin sendiri, namun ketika itu modal amat terhad, jadi kami bermula dari rumah.

“Hampir setahun proses pembuatan dan pembungkusan dilakukan di rumah. Apabila perniagaan makin maju dan ejen serta stokis semakin bertambah, kami mula berpindah ke premis yang lebih selesa,” jelasnya.

Sementara itu, Anis Husna berkata, perniagaan mereka tidak naik secara drastik tetapi mendaki satu persatu.

Malah dia sendiri hampir putus asa apabila berhadapan dengan kekangan modal, namun itu tidak langsung menjadi halangan untuk mereka terus mengorak langkah.

“Dalam tempoh setahun, saya berusaha melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu perniagaan dengan menyertai pelbagai kursus dan program,” ujarnya.

Suami dan keluarga menjadi tulang belakang dengan memberi sokongan dan bantuan sehingga mampu berdiri kukuh sehingga kini.

Anis Husna berkata, kejayaan yang diraihnya itu juga merupakan hasil daripada bantuan dan bimbingan Amanah ikhtiar Malaysia (AIM).

Menurutnya, selain suntikan modal, AIM turut membantu daripada segi sokongan moral dan bimbingan perniagaan melalui kerjasama dengan pelbagai agensi.

Agensi itu juga menyediakan bimbingan ke arah pensijilan halal bagi menambahkan keyakinan penggemar dan menjamin kebersihan serta keselamatan produk bertih jagungnya.

“Menerusi bantuan modal oleh AIM, hasil jualan ‘popcorn’ telah meningkat kepada pendapatan yang lebih baik iaitu antara RM18,000 hingga RM20,000 sebulan berbanding hanya RM9,000 sebulan.

“Selain mempunyai ejen dan stokis di seluruh negara, kami juga menggunakan sistem ‘consignment’ yang mana sehingga kini kami telah mempunyai hampir 200 rakan niaga di seluruh Perak,” katanya.

Mereka yang berminat menjadi usahawan boleh melayari laman Instagram di hangkoot.hq atau Facebook, hangkoot official hq atau juga boleh menghubungi Anis di talian 013-976 3021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI