fbpx
Sebahagian daripada warga asing yang berjaya ditahan dalam operasi khas JIM di Kelantan semalam. - Foto IHSAN JIM

PATI bayar RM7,000 masuk Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Penahanan lapan lelaki tempatan oleh Jabatan Imigresen (JIM) semalam akhirnya membawa kepada kejayaan menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia yang aktif beroperasi di Kelantan.

Kesemua lapan individu berusia 17 hingga 37 tahun itu ditahan menerusi Ops Gelombang dalam serbuan di kawasan sekitar Terminal Bas Utama di Kota Bharu dan Pasir Mas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, siasatan mendapati, kesemua mereka didapati bertindak sebagai ‘transporter’ kepada pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, operasi sama turut menahan 49 PATI terdiri daripada 32 lelaki, 16 orang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warganegara Myanmar yang dipercayai baru tiba ke Malaysia melalui jalan tikus.

“Sindiket ini menyeludup PATI melalui laluan laut melintasi sempadan Malaysia-Thailand dan dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM 7,000 bagi seorang PATI untuk masuk ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, kesemua PATI itu kemudian akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru untuk bekerja secara tidak sah manakala, PATI wanita pula dipercayai bekerja sebagai tukang urut atau menawarkan perkhidmatan seks.

Khairul berkata, siasatan awal mendapati transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke Terminal Bas Awam sebelum menaiki kenderaan awam yang ditetapkan.

“Sindiket ini juga dipercayai aktif sejak Mei 2022 setelah pintu masuk sempadan kedua-dua negara dibuka semula.

“Siasatan awal mendapati pihak sindiket menyasarkan PATI berasal dari Myanmar, Bangladesh dan India yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini,” ujar beliau.

Katanya, difahamkan seramai 160 PATI dibawa masuk oleh sindiket berkenaan setiap bulan yang menyebabkan kerugian hasil sebanyak RM1.7 juta dalam bentuk kutipan levi pekerja asing.

Kesemua PATI ditangkap disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Manakala tujuh orang lelaki tempatan pula akan dihadapkan ke mahkamah untuk perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan.-KOSMO! ONLINE.

POPULAR