fbpx

Mahkamah: kebocoran adaptor tidak jejas mesin penapis air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun (kanan) ketika hadir di Mahkmah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke – 22 memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa mesin penapis air di unit kondominium didiami pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, berfungsi dengan baik meskipun terdapat kebocoran sedikit pada adaptor (kepala paip) sinki.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya , Zahida Zakaria Juruteknik mesin penapis air, Mohamed Rezuan Satori, 25, berkata beliau menukar adaptor baharu selepas mengesan air menitik pada paip berkenaan.

Menurut saksi itu, tekanan air mesin itu mencukupi dan suhu bagi air panas mesin penapis air itu lebih 86 darjah Celcius, manakala air sejuk kurang daripada lima hingga enam darjah Celcius.

“Laporan mengenai masalah mesin air itu diterima pada 23 Mei 2021. Saya kemudian menelefon Siti Bainun tetapi tidak berjawab. Saya kemudian hantar khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Siti Bainun kemudian menelefon balik dan kerja membaiki mesin air ditunda keesokannya. Saya masuk ke kondominium itu pukul 12.30 tengah hari melalui pondok keselamatan dan pengawal keselamatan minta parkir di kawasan pelawat.

“Selepas itu, saya meminta supaya Siti Bainun turun ke lobi dan bawa saya naik lif ke unit kondominium itu. Saya masuk rumah Siti Bainun dan ada lebih kurang lima kanak-kanak sebelum pergi ke mesin air itu bagi mengenal pasti masalahnya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi juruteknik mesin penapis air, Azrin Aisyah Mohd Radzi, 32, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Siti Bainun, Nur Ellena Mohamed Razif, mengesahkan pergi ke kondominium itu, pada 17 Mei 2021 untuk menyelenggara mesin itu.

Bagaimanapun, peguam itu mempersoal dokumen pengesahan selenggara mesin yang ditandatangani oleh Siti Bainun menunjukkan tarikh lain iaitu, 19 Mei 2021.

Azrin Aisyah yang juga saksi pendakwaan ke-21 kemudian turut mengesahkan dokumen itu memaparkan butiran Siti Bainun seperti nombor telefon dan alamat.

Namun, katanya, beliau sebagai ejen hanya menulis nama timangannya iaitu Ain, tanpa butiran lain pada dokumen itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI