fbpx

Cuaca punca helikopter terhempas, enam nyaris maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah helikopter jenis Eurocopter AS355F2 yang terhempas di Brinchang semalam.

CAMERON HIGHLANDS – Seorang juruterbang dan lima penumpang termasuk seorang doktor nyaris maut apabila sebuah helikopter jenis Eurocopter AS355F2 yang mereka naiki terhempas di Brinchang di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 tengah hari, helikopter milik syarikat swasta itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke Ipoh dari Lojing di sini.

Dalam nahas itu, tiga mangsa hanya cedera ringan termasuk juruterbang yang tidak mengalami sebarang kecederaan. Tiga lagi mangsa cedera parah termasuk seorang yang dilapor­kan patah tulang paha.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.15 tengah hari itu tidak menyebabkan sebarang kehilangan nyawa.

Pasukan mencari dan menyelamat membantu mangsa-mangsa yang terselamat dalam tragedi helikopter terhempas di Brinchang, Cameron Highlands semalam.

Menurutnya, helikopter tersebut membawa Flying Doctor Service (FDS) dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak iaitu seramai lima pegawai perubatan terma­suk seorang doktor untuk me­rawat penduduk pedalaman.

”Siasatan awal mendapati, cuaca menjadi faktor utama helikopter itu hilang kawalan dan terhempas di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Ujarnya, bangkai helikopter tersebut berada pada ketinggian 1,568 meter dari aras laut.

Katanya, pihak bomba kemudian berusaha membawa kese­mua mangsa keluar dari lokasi terhempas apabila pasukan penyelamat tiba di situ pada pukul 3.51 petang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, helikopter berkenaan melakukan pendaratan cemas berhampiran Big Red Brinchang Cameron Highlands.

Katanya, kesemua mangsa ditemui pada pukul 3.51 petang dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

pasukan mencari dan menyelamat membantu mangsa-mangsa yang terselamat dalam tragedi helikopter terhempas di Brinchang, Cameron Highlands semalam.

Dalam pada itu, Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan akan memulakan siasatan lanjut membabitkan kemalangan helikopter jenis Airbus AS355F2 itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Chester Voo berkata, siasatan itu akan dijalankan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“CAAM mengesahkan kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355F2.

“Pesawat dengan nombor pendaftaran 9M-SSW itu terbabit nahas berhampiran Tanah Rata, Cameron Highland,” ujarnya.

Helikopter berkenaan dikendalikan oleh Layang Layang Ae­rospace Sdn. Bhd. dan berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada pukul 12.20 petang.

Pada 11 September lalu, seorang juruterbang helikopter Eurocopter EC120B yang dilaporkan hilang dari radar selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang maut selepas terhempas di sekitar Hutan Simpan Chikus, Tapah.

Mayat Tsz Kin Richard Chan, 58, ditemui pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di bahagian kokpit helikopter tersebut sekitar pukul 9.30 pagi sebelum dibawa keluar dari hutan.

Eurocopter EC120B milik syarikat swasta yang dipandu juruterbang berkenaan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 12.37 tengah hari pada hari kejadian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI