fbpx
MARCELL

Agama, pegangan, posisi Marcell

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA diwawancara teman-teman media Malaysia di Parkroyal Collection Kuala Lumpur baru-baru ini, lelaki bernama penuh Marcellius Kirana Hamonangan Siahaan itu membalas setiap lontaran pertanyaan dengan jawapan penuh maksud tersirat.

Situasi itu bukan sesuatu yang bersifat asing buat susuk pelantun lagu Semusim itu.

Dia sememangnya memiliki banyak buah fikiran yang ingin dikongsikan.

Bentangkan apa sahaja pertanyaan tentang apa pun, akan dijawabnya sepenuh perincian dan kecintaan.

Selepas kali terakhir melakukan persembahan di Kuala Lumpur empat tahun lalu, Marcell, 45, bakal mengubat kerinduan peminat negara ini dengan konsert diberi judul Marcell Dua Dekade Live in Kuala Lumpur bertempat di Zepp KL pada 9 Disember akan datang.

MARCELL sedar setiap orang memiliki fahaman berbeza dengan agama mahupun kepercayaan.

Rindu peminat Malaysia

Teruja untuk kembali menghibur audiens di negara ini, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu memaklumkan, tidak sabar melepaskan rasa ‘kangen’ (rindu) terhadap para peminat di Malaysia.

“Peminat di negara ini memiliki kesan yang besar terhadap karier nyanyian saya. Mungkin nanti ada wajah-wajah baharu atau wajah-wajah lama. Mungkin waktu saya sedang bermula dahulu, ada yang masih bayi.

“Dalam pada dunia semakin maju dengan perihal teknologi atau digital, saya percaya, pola pemikiran manusia dan rasa apresiasi mereka juga berubah sama. Itu yang membuatkan saya terfikir, bagaimana agaknya peminat saya di Malaysia sekarang.

“Ketika pandemik Covid-19 lagilah kita tidak ke mana-mana. Barangkali, hanya fokus pada diri. Sesuatu yang sangat mencabar.

“Satu perkara yang pasti, saya tidak akan pernah berhenti mempersembahkan yang terbaik,” katanya kepada HibGlam.

Ditanya tentang tip dirinya terus kekal hebat melantunkan listrik vokal pada usia yang semakin meningkat, Marcell mengungkapkan ucapan terima kasih buat isteri tersayang, Rima Melati Adams yang sangat menitikberatkan soal kesihatan.

“Dia selalu mengingatkan saya jangan lupa untuk selalu bersenam (ketawa). Kerana, saya memang bukan akan sentiasa muda.

“Dari segi vokal, saya tetap menjalani latihan. Pada masa sama saya punya semangat kerana saya mahu terus menyanyi secara klasikal dengan baik.

“Kalau boleh, saya mahu terus menyanyi sampai detik nafas yang terakhir. Saya mahu menjaga bakat yang diberikan Tuhan.

“Saya mahu umur saya 80, 85 atau 90 tahun (jangan lama-lama), saya mahu tetap menyanyi dan bertemu anda semua.

“Kita masih boleh nyanyi sama-sama. Itu harapan saya,” jelasnya.

MEMILIKI banyak pengalaman dalam soal agama dan kepercayaan, Marcell bagaimanapun menolak daripada menjadikan perkara tersebut satu batu loncatan untuk meraih sumber kewangan sampingan. Baginya, Marcell adalah Marcell seorang lelaki yang tetap di posisi sebagai penyanyi.

Tentang agama

Bertemu seorang anak muzik bernama Marcell, tidak sah andai tidak dilayangkan pertanyaan tentang pegangan agama atau spiritualnya.

Meskipun soal agama tidak mudah untuk dikongsikan secara terbuka kepada orang lain, Marcell juga sedar tanggapan salah orang terhadap dirinya.

“Sampai orang beranggapan bahawa saya mualaf dua tahun lalu, padahal saya sudah masuk Islam sejak 2012,” ulasnya seraya tertawa kecil.

Mengakui menemui ketenangan hidup selepas mendalami Islam, terutama sewaktu pandemik, Marcell percaya, apa sahaja agama tetap mengajarkan ke arah kebaikan.

“Kerana sejak dahulu, pencapaian spiritual itu bukan sesuatu yang boleh saya kongsi dengan kebanyakan orang.

“Apatah lagi, saya jenis orangnya banyak belajar latar agama dan kepercayaan. Saya mempelajari kebaikan-kebaikan daripada setiap kepercayaan.

“Jadi, untuk berkongsi perkara seperti ini tidak gampang (mudah). Tidak semua orang boleh terima,” ungkapnya.
Marcell berpendapat, jangkaan orang adalah berbeza-beza apabila bertutur soal agama atau kepercayaan.

“Banyak antara mereka apabila berbicara tentang spiritual, mereka bertanya tetapi mempunyai ekspektasi (jangkaan) sendiri.

“Jawapan (yang saya berikan) harus seperti itu dan ini. Jadi, kalau jawapan saya berbeza dengan apa yang ada dalam kepala mereka, mereka marah dan menolak.

“Padahal, yang seharusnya dipersalahkan adalah mereka. Kenapa mereka tanya (tentang hal spiritual atau kepercayaan agama).

“Saya pasti jawapannya lain kerana buat saya, pemahaman saya tentang hal tersebut pasti beza.

“Orang ucap tahniah saya masuk Islam ternyata saya dah peluk Islam sejak 2012. Puasa pertama saya 2012,” ujarnya tenang seraya memaklumkan sangat privasi berhubung isu agama.

MARCELL akan bertemu peminat di Malaysia menerusi konsert yang dinamakan Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur, sempena 20 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Eksploitasi

Sebelum ini, kisah Marcell yang beberapa kali bertukar kepercayaan, khususnya agama kerap menjadi tumpuan media.

Bagaimanapun kata Marcell, dia tidak pernah mengeksploitasikan agama untuk kepentingan peribadi atau menjana wang.

“Saya masih istiqamah dan mungkin bahasa yang paling kasar adalah, saya tak cari wang daripada isu berkait agama.

“Saya tak cari wang dari situ. Jadi, buat saya Marcell ialah Marcell; seorang penyanyi dan lebih baik berada di posisi itu,” ujarnya.

Ditanya tentang Islam yang akhirnya membuka jalan dirinya bertemu ketenangan hidup, jawab Marcell penuh maksud mendalam: “Kita harus buka membuka itu (tenang) untuk datang.

“Kalau kita sudah menutup diri dengan erti kesombongan dan tiada keikhlasan, ketenangan tidak akan datang.

“Percayalah. Jangan sampai kita anggap bahawa kedamaian jiwa, kebahagiaan bahkan kasih sayang sesuatu yang patut dikejar.

“Semua itu ada di mana-mana. Hanya tinggal kita buka ‘jendela-jendelanya’, ‘dia’ akan datang dengan sendiri.

“Kalau jendela yang saya maksudkan itu dibuka, bermakna kita sudah ikhlas melepaskan.

“Kita perlu nikmati ibadah kita. Dalam solat, tahajud atau apapun atau puasa, nikmati momennya.

SELAMA 12 tahun bergelar mualaf, Marcell sentiasa membuka hati dan jiwanya dengan keikhlasan. Dari situlah dia beroleh ketenangan menikmati momen sebenar sebuah kehidupan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN