fbpx

Polis Thailand buru dalang seludup 10 juta pil metamfetamin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis percaya hasil tangkapan itu adalah milik pengedar yang beroperasi di luar kawasan Timur Laut yang menyeludup dadah dari Laos. – The Nation Thailand

BANGKOK – Ketua Polis Thailand, Jeneral (Polis) Damrongsak Kittiprapas mengumumkan penahanan lima suspek serta rampasan 10 juta pil  metamfetamin dan tiga buah kenderaan dalam dua serbuan pada ming­gu lalu, lapor akhbar The Nation Thailand kelmarin.

Damrongsak berkata, polis meningkatkan usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah selepas  seorang bekas polis yang merupakan seorang penagih,  membunuh berpuluh-puluh kanak-kanak dan orang dewasa di sebuah pusat jagaan di Nong Bua Lumphu baru-baru ini.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan pada 19 Oktober lalu selepas polis menerima maklumat mengenai sejumlah besar pil metamfetamin yang akan dibawa ke Thailand dari Laos menerusi wilayah Mukdahan.

Dalam operasi tersebut, polis mengesan sebuah kereta dan van yang mencurigakan di Maha Sarakham sebelum melakukan serbuan ketika dua kenderaan itu berhenti di sebuah stesen minyak di daerah Borabue.

Semasa menggeledah ken­deraan tersebut, polis menemui empat juta pil metamfetamin di dalam 10 guni dalam kereta sedan terbabit. 

Pemandu kereta yang dikenali sebagai Adisak serta pemandu van, Anucha dan seorang penumpang, Wiphada ditahan di lokasi kejadian. Polis turut merampas dua pucuk pistol milik mereka.

Sementara itu dalam serbuan kedua, polis memintas sebuah trak pikap di persimpangan  lampu isyarat di daerah Thawat Buri, dalam wilayah Roi Et serta menahan dua suspek.

Polis turut menemui enam juta pil metamfetamin yang diisi di dalam 16 karung guni dalam trak tersebut. 

Suspek berkata, mereka diupah untuk membawa dadah tersebut dari  Nakhon Phanom kepada seorang pelanggan di wilayah Ayutthaya.

Polis percaya hasil rampasan  itu adalah milik pengedar yang beroperasi di timur laut Thailand dan menyeludup dadah dari Laos.

Polis Thailand meningkatkan usaha untuk memburu dalang di sebalik kumpulan-kumpulan pengedaran dadah tersebut. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI