fbpx
PENDUDUK mencari barang milik mereka di tengah runtuhan pondok selepas Taufan Sitrang membadai bandar Chittagong kelmarin. - AFP

28 maut Taufan Sitrang badai selatan Bangladesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA – Sekurang-kurangnya 28 orang maut selepas Taufan Sitrang membadai selatan Bangladesh Isnin lalu, sekali gus memaksa kira-kira sejuta orang dipindahkan dari kediaman masing-masing, lapor laman berita Wion News semalam.

Siklon yang setara dengan taufan di Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik itu sebenarnya memberi ancaman biasa namun, para saintis memaklumkan perubahan iklim menjadikan fenomena itu lebih teruk dan kerap.

Kira-kira 10 juta penduduk terputus bekalan elektrik di daerah sepanjang pantai kelmarin, manakala sekolah-sekolah ditutup di sebahagian besar kawasan selatan negara itu.

Pegawai kerajaan, Jebun Nahar seperti dipetik oleh agensi berita AFP memaklumkan bahawa 28 orang telah meninggal dunia setakat ini. Kebanyakan kematian berpunca daripada kejadian pokok tumbang selain dua orang maut apabila bot yang dinaiki mereka karam di sungai Jamuna, utara Bangladesh.

Lapan orang lagi hilang apabila sebuah kapal korek karam semasa ribut pada malam Isnin lalu di Teluk Bengal, berhampiran taman perindustrian terbesar negara itu di Mirsai, kata Ketua Jabatan Bomba Wilayah, Abdullah Pasha.

“Angin kencang menterbalikkan kapal korek dan ia tenggelam serta-merta di Teluk Bengal,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa anggota penyelam sedang mencari mangsa yang terselamat.

Sementara itu, Setiausaha Kementerian Pengurusan Bencana, Kamrul Ahsan berkata, orang ramai dipindahkan dari kawasan rendah seperti pulau terpencil dan tebing sungai ke beribu-ribu pusat perlindungan bertingkat.

“Mereka bermalam di pusat perlindungan siklon dan ramai yang pulang ke rumah masing-masing pada pagi semalam,” katanya.

Kamrul berkata, hampir 10,000 rumah sama ada musnah atau rosak dalam ribut itu manakala kira-kira 1,000 kolam ternakan udang telah dihanyutkan air banjir. – Agensi 

 

POPULAR