fbpx

Sasar buka 500 outlet durian crepe dalam tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIRAWATY menunjukkan produk durian crepe dan tart nanas premium berjenama Royale Marbeles yang ditawarkan syarikatnya.

KEPALA BATAS – Alah bisa, tegal biasa. Mungkin itu peribahasa paling sesuai diguna untuk menggambarkan kecekalan ibu tunggal ini dalam menempuh liku-liku perniagaannya sejak 20 tahun yang lalu.

Ternyata, pengalaman berniaga selama hampir dua dekad banyak mematangkan Azirawaty Mohd. Noor, 48, terutamanya ketika berdepan pelbagai cabaran dan rintangan dalam dunia berkenaan.

Pernah mengusahakan perniagaan spa, ibu kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun memilih untuk ‘terjun’ ke dalam dunia perniagaan makanan dengan menawarkan durian crepe di bawah jenama Royale Marbeles sejak lapan tahun yang lalu.

Selain durian crepe, Azirawaty yang lebih mesra disapa sebagai Kak Zira berkata, dia turut menghasilkan kuih tart nanas premium sebagai produk sampingan, selain membantu memasarkan produk-produk setempat yang dihasilkan oleh rakan usahawan lain.

“Sebenarnya, apa yang membezakan durian crepe kami dengan produk lain di pasaran ialah kami hanya menggunakan durian asli jenis D24 sahaja, yang digabungkan dengan ramuan royal custard tersendiri.

“Durian crepe dan tart nanas kami juga telah mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

“Alhamdulillah setakat ini, produk kami menerima sambutan baik dan kini telah dipasarkan di hampir 30 buah lokasi termasuk di beberapa buah stesen minyak di utara Semenanjung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nenek kepada seorang cucu itu memberitahu, buat masa ini, dia mampu menghasilkan sehingga 300 pek durian crepe sehari dengan bantuan antara enam hingga lapan orang pekerja, selain mempunyai tiga atau empat pembekal durian tetap sepanjang tahun.

“Sasaran kami ialah untuk melihat produk durian crepe jenama Royale Marbeles ini dikenali di seluruh Semenanjung, sebelum dipasarkan hingga ke Sabah dan Sarawak.

“Pada masa yang sama, kami juga menyasarkan untuk membuka sehingga 500 outlet yang sah dalam masa tiga tahun ini,” katanya yang memberitahu, sambutan yang diterima bagi produk tart nanas juga agak memberangsangkan ketika ini.

Dalam pada itu, Azirawaty yang juga merupakan Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sejak hampir sembilan tahun lalu berterima kasih kepada agensi itu kerana banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan hingga ke hari ini.

“Kalau hendak diikutkan, AIM adalah antara agensi pinjaman kewangan terawal yang banyak membantu Kak Zira dalam memajukan produk dan sebagainya.

“Insya-Allah, Kak Zira akan terus setia bersama AIM kerana sehingga kini, jumlah pinjaman yang diterima untuk memajukan perniagaan ini telah mencecah RM100,000,” ujarnya.

Selain dijual dalam bentuk pek atau kotak, Royale Marbeles juga boleh didapati dalam bentuk balang bagi durian crepe berperisa keju dan durian crepe campuran dalam empat perisa berbeza iaitu blueberry, nutella, oreo dan strawberi pada harga yang berpatutan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk keluaran Rasa Ma Cinta Tuah ini, bolehlah menghubungi Azirawaty di talian 013-5018084.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI