fbpx

Ketidaksamarataan gender dalam politik China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jinping (kiri) berjalan bersama ahli Jawatankuasa Tetap Politburo baharu di Great Hall of the People, Beijing, kelmarin. – AFP

BEIJING – Kongres Parti Komunis yang menutup tirainya Sabtu lalu menyaksikan isu ketidaksamarataan gender semakin ketara dalam senario politik China apabila tiada seorang pun wanita dipilih menduduki kerusi 24 ahli jawatankuasa kepimpinan kanan, Politburo.

Senario itu adalah yang pertama dalam tempoh sekurang-kurangnya 25 tahun.

Ketika Presiden China, Xi Jinping dan sekutunya mengukuhkan kekuasaan mereka di Beijing pada hujung minggu lalu, satu-satunya pemimpin wanita dalam ranking tertinggi Parti Komunis telah bersara.

Ahli politik veteran, Sun Chunlan yang merupakan Timbalan Perdana Menteri dan bertanggungjawab menguruskan dasar kesihatan China dilaporkan tiada dalam senarai Politburo sekali gus memberi isyarat bahawa beliau telah berundur.

Kaum wanita tidak pernah memegang jawatan kanan  dalam Parti Komunis China yang merupakan parti politik terbesar dunia dengan  96 juta ahli aktif  dan kini, pengaruh wanita  semakin berkurang.

Wanita hanya membentuk lima peratus daripada 205 ahli Jawatankuasa Pusat baharu Parti Komunis, manakala tujuh anggota Jawatankuasa Tetap yang merupakan badan tertinggi di China kekal lelaki yang diketuai oleh Jinping.

Chunlan, 72, sebelum ini merupakan satu-satunya wanita dalam jawatankuasa Politburo iaitu  badan pembuat keputusan eksekutif Beijing.

Sering ditugaskan untuk meninjau keadaan di bandar-bandar ketika penularan wabak Covid-19, bekas ketua Parti Komunis cawangan wilayah Fujian dan perbandaran Tianjin itu menjadi ‘wajah awam’ bagi polisi sifar Covid-19 China.

Chunlan bertanggungjawab mengarahkan pelaksanaan pelbagai langkah ketat melibatkan isu kesihatan, menyebabkan beliau pergi dengan diberi gelaran ‘Wanita Besi’.

Namun, pemimpin seperti Chunlan amat jarang dilihat dalam politik China, di mana kekuasaan pemimpin lelaki dan unsur seksis menghalang pengembangan kerjaya calon wanita yang ada.

“Saya berpendapat komitmen Parti Komunis terhadap wanita adalah lebih kepada komitmen untuk memajukan hak ekonomi kaum itu.

“Ia benar-benar mengenai golongan wanita dalam aspek pekerjaan,” kata  pensyarah kanan di Universiti Sydney, Chen Minglu sambil menambah, Parti Komunis merupakan sebuah institusi yang bersifat kelakian, bermula daripada pembentukannya hingga ke hari ini.

Selain memiliki sistem politik yang mengamalkan ketidaksamarataan jantina, China turut menetapkan umur persaraan lebih rendah untuk kaum wanita.

Umur bersara wanita  bagi kakitangan pemerintah adalah 55 tahun berbanding 60 tahun untuk lelaki. Menteri-menteri pula dijangka bersara pada usia 65 tahun, dengan barisan pemimpin tertinggi biasanya mematuhi had umur tidak rasmi iaitu 68 tahun.

China memperkenalkan sistem kuota tidak rasmi pada 2001, yang memerlukan seorang wanita mengisi jawatan di semua peringkat pentadbiran  dan parti kecuali Politburo. 

Hanya enam wanita mengisi kedudukan dalam jawatankuasa tersebut sejak 1948 dengan tiga daripada mereka bergelar Timbalan Perdana Menteri dan tiada seorang pun yang berada dalam Jawatankuasa Tetap. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI