fbpx
SYAHIDA ASYIQIN tekad dengan pendiriannya untuk bersara awal daripada sukan kanu dan menunggu peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Sukan di UPSI hujung tahun ini.

Syahida Asyiqin tekad bersara awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUJUK rayu kerajaan negeri Terengganu dan Persatuan Kanu Malaysia (Masca) gagal melembutkan hati atlet kanu sensasi, Syahida Asyiqin Rusli yang sudah membulatkan tekad untuk mengundurkan diri daripada sukan berkenaan.

Walaupun cemerlang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022, dia nekad untuk bersara pada usia 18 tahun bagi memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Saya sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Keputusan (bersara) ini tidak dipengaruhi sesiapa. Sebenarnya ia bukan sukar diputuskan memandangkan penyertaan saya di dalam sukan kanu sebelum ini bukan ‘dirancang’,” katanya ketika ditemui di Kuala Terengganu semalam.

Terdahulu Syahida Asyiqin menerima insentif kemenangan Sukma berjumlah keseluruhan RM33,500 yang disampaikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Syahida Asyiqin berkata, dia tidak kesal walaupun memiliki peluang cerah untuk terus menyinar di dalam sukan kanu termasuk mewakili skuad kebangsaan pada Sukan SEA 2023.

Jelas atlet kelahiran Kuala Ibai, Kuala Terengganu itu, sebelum bermulanya Sukma, dia sudah bulatkan tekad menjadikan temasya sukan itu sebagai pertama dan terakhir.

“Awal penglibatan saya dalam sukan kanu hanya suka-suka, tidak sangka boleh capai kejayaan dalam Sukma 2022.

“Sebenarnya, keluarga saya pernah memujuk untuk terus kekal (sebagai atlet kanu) tetapi mereka faham dan menghormati keputusan saya apabila dijelaskan,” katanya.

Syahida Asyiqin memberi­tahu, beliau juga kini sudah tidak turun berlatih lagi bersama pasukan kanu sementara menunggu peluang untuk me­lanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) pada kemasukan akhir tahun ini.

POPULAR