fbpx

Tak sempat terima upah pertama sudah dicekup seleweng diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mogan (kiri) bersama pegawainya ketika sidang akhbar di Stor Penyimpanan Eksibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak, Seberang Perai Tengah, di sini hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori dikatakan tidak sempat menerima upah pada hari pertama mula bekerja apabila dia ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, di Jalan Baru, Bukit Mertajam di sini semalam.

Ketua Pegawainya, A. Mogan berkata, lelaki itu ditahan selepas dipercayai terlibat dengan satu kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi hasil risikan serta maklumat yang diterima daripada orang awam sebelum ini.

Menurut beliau, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 3.45 petang ketika lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an itu baru sahaja selesai mengisi diesel di dua buah stesen minyak berasingan.

“Lelaki yang menerima upah sebanyak RM150 sehari untuk melakukan kerja tersebut turut merayu dan menangis meminta agar dibebaskan atas alasan terpaksa bekerja untuk menanggung empat orang anaknya selain menyesal di atas perbuatan berkenaan.

“Siasatan lanjut juga mendapati, terdapat lebih kurang 800 liter minyak diesel berada dalam dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter yang telah diubah suai di atas lori berjenama Toyota seberat satu tan yang dipandu lelaki tersebut.

“Nilai keseluruhan rampasan dan sitaan untuk kes ini pula dianggarkan bernilai kira-kira RM11,520,” katanya kepada pemberita di Kompleks Penyimpanan Stor Eksibit KPDNHEP Pulau Pinang di Bukit Minyak, di sini hari ini.

Terdahulu katanya, satu serbuan berasingan turut dilakukan kira-kira pukul 9 pagi pada hari sama oleh empat pegawai penguatkuasa di sebuah stesen minyak di Auto City Juru.

Ujar Mogan, dalam serbuan tersebut, seorang lelaki warga emas ditahan bersama sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang mempunyai dua tangki simpanan fiber diubah suai berkapasiti 550 liter dipercayai miliknya sendiri.

Jelas beliau, pemeriksaan lanjut kemudian menjumpai kira-kira 380 liter diesel dalam kedua-dua tangki simpanan terbabit yang masing-masing berada di bahagian tempat duduk belakang serta tempat mengisi barang di atas kenderaan berkenaan.

“Hasil siasatan lanjut mendapati, lelaki berusia dalam lingkungan 60-an itu bergerak secara solo dan telah terlibat dengan kegiatan tersebut sejak enam bulan lalu. Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan untuk kes ini pula dianggarkan mencecah RM41,060,” ujarnya.

Justeru, beliau memberitahu, kedua-dua kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan membawa hukuman penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala kesalahan kedua dan seterusnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan berkenaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received