fbpx

Separuh negara dunia tidak bersedia hadapi bencana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penduduk meredah air banjir di wilayah Balochistan, Pakistan pada 6 Oktober lalu. – AFP

GENEVA – Laporan baharu yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa separuh negara di seluruh dunia berada dalam keadaan tidak bersedia berdepan sebarang risiko bencana alam, lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Ketika perubahan iklim global mengakibatkan bencana alam meningkat dan mencetuskan cuaca ekstrem,  separuh daripada negara di dunia tidak mempunyai sistem amaran awal  yang sempurna. Kekurangan indikator tersebut berisiko meningkatkan angka kematian ketika bencana.

Agensi-agensi risiko bencana dan cuaca di bawah PBB mengeluarkan laporan yang menyatakan bahawa tanpa sistem amaran awal, sesebuah negara mempunyai purata risiko kematian sebanyak lapan kali ganda berbanding negara yang memiliki sistem tersebut.

Sistem amaran awal canggih itu membolehkan kerajaan merancang untuk berdepan sebarang bencana seperti ribut, banjir, gelombang haba dan kemarau.

Buat masa ini, sekitar separuh negara di dunia mempunyai sistem amaran awal dengan negara-negara paling miskin sering terjejas teruk akibat bencana alam dan cuaca ekstrem kerana tidak memiliki sistem tersebut.

Selain itu, hanya satu pertiga daripada negara-negara kepulauan kecil mempunyai sistem amaran awal  dan kurang separuh daripada negara yang paling kurang membangun, memiliki peralatan itu.

Ancaman bencana alam dan cuaca ekstrem telah melonjak dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi setiap 100,000 penduduk, bilangan mereka yang terjejas akibat bencana alam adalah sekitar 1,147 orang bagi tempoh 2005 hingga 2014. Dalam dekad lalu, angka itu bertambah kepada 2,066.

Bagaimanapun, dengan adanya sistem awal bencana, angka mangsa yang mati atau hilang akibat bencana alam dapat dikurangkan.

Contohnya, dalam bencana banjir di Pakistan di mana satu pertiga daripada negara itu ditenggelami air, angka kematian seramai 1,700 orang mungkin lebih tinggi sekiranya negara itu tidak mempunyai sistem amaran awal.

“Cuaca ekstrem akan berlaku, namun ia tidak seharusnya menjadi bencana yang meragut banyak nyawa. Mereka yang paling tidak banyak menyumbang kepada krisis iklim pula menjadi mangsa yang paling teruk terjejas,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI