fbpx

Indonesia haramkan penggunaan dua ramuan ubat batuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WHO telah mengeluarkan amaran mengenai empat sirap ubat batuk yang dihasilkan oleh Maiden Pharmaceuticals. - AFP

JAKARTA – Pemerintah Indonesia mengharamkan penggunaan ramuan yang dikaitkan dengan kes kematian 70 kanak-kanak di The Gambia baru-baru ini, dalam penghasilan ubat batuk di negara itu, lapor akhbar Bangkok Post kelmarin.

Pengumuman itu dibuat susulan siasatan menyeluruh mengenai kes kerosakan buah pinggang akut yang telah membunuh lebih 20 kanak-kanak di ibu kota Jakarta tahun ini.

Agensi Penyeliaan Makanan dan Ubat (BPOM) Indonesia berkata, ia sedang menyiasat kemungkinan bahan-bahan seperti dietilena glikol dan etilena glikol telah mencemari bahan lain yang digunakan sebagai pelarut.

The Gambia dan India kini sedang menyiasat kematian akibat kegagalan buah pinggang akut di negara Afrika itu yang dikaitkan dengan sirap ubat batuk dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di New Delhi, Maiden Pharmaceuticals.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesan empat bahan yang boleh bertukar menjadi toksik dalam empat produk keluaran syarikat yang sama.

“Bagi memberi perlindungan kepada orang ramai, BPOM telah menetapkan syarat semasa pendaftaran bahawa semua produk sirap ubat untuk kanak-kanak dan orang dewasa tidak dibenarkan menggunakan dietilena glikol dan etilena glikol,” kata badan pengawal selia tersebut dalam satu kenyataan.

BPOM menegaskan bahawa empat produk yang dikaitkan dengan kematian di The Gambia bagaimanapun tidak didaftarkan di Indonesia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI