GEORGE TOWN – Mereka bukanlah golongan gelandangan mahupun kumpulan miskin tegar yang tidak mempunyai rumah, namun memilih untuk menjadi pengemis bagi mendapatkan wang mudah.
Kumpulan yang digelar pengemis sambilan ini juga biasanya memilih waktu-waktu tertentu dan lokasi strategik untuk mengemis.
Pendapatan yang diraih hasil simpati orang ramai ini juga kadangkala mencecah RM2,000 sebulan.
Tinjauan Kosmo! Ahad di sekitar bandar George Town di sini mendapati, hampir semua daripada pengemis memberi alasan sama, iaitu terpaksa membuang perasaan malu untuk mendapatkan wang selepas dibuang kerja.
Rata-rata pengemis juga mendakwa akan turun ke bandar terutama pada hujung minggu dan cuti umum semata-mata untuk mengemis.
Sebahagian mereka datang dalam keadaan berkerusi roda, keadaan kaki yang berbalut dan bertongkat selain kelihatan sangat uzur dengan masing-masing menyediakan kole atau cawan plastik di sisi.
Seorang bekas operator kilang yang mahu dikenali sebagai Aishah, 59, berkata, keputusannya untuk mengemis di hadapan pintu masuk sebuah bank adalah disebabkan kekangan kewangan selepas berhenti kerja.
“Buat apa nak malu minta sedekah, keadaan sekarang sangat memaksa. Saya diuji, tetapi saya reda. Dulu saya gembira bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas selain menjadi tukang masak di kantin.
“Saya tidak paksa semua orang yang datang untuk beri duit. Dalam 10 orang yang datang, boleh dikatakan hanya empat yang beri duit.
“Saya mengemis bagi menampung kehidupan harian. Wang hasil mengemis yang tidak menentu iaitu antara RM40 hingga RM50 sehari,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Seorang lagi bekas pembantu kedai makan, Abdul Azeez Mydin, 86, berkata, tujuannya mengemis di Jalan Hutton di sini sejak hampir setahun lalu adalah bagi mendapatkan duit disebabkan desakan hidup selepas pandemik Covid-19.
“Wang yang dapat antara RM50 hingga RM70 sehari digunakan untuk membayar sewa bilik RM300 sebulan.
“Saya diberhentikan kerja selepas kedai makan ditutup akibat Covid-19. Umur sebegini sudah tidak mampu bekerja. Saya memang perlu duit,” ujarnya yang berasal dari Ipoh, Perak.
Di Shah Alam, Selangor, ada kalangan pengemis yang ditemui mendakwa mampu meraih pendapatan sehingga RM100 sehari.
Mereka juga ‘bekerja’ mengikut tempoh waktu kerja seperti orang lain iaitu lapan jam bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.
Seorang pengemis wanita keturunan Rohingya dikenali Janiah, 54, memberitahu, dia telah mengemis sejak setahun lalu.
Dakwanya, dia telah kematian suami dan menyewa sebuah unit di bangunan rumah kedai dengan kadar bulanan RM200.
“Hendak kerja tak larat sebab saya sakit pinggang dan lutut. Jadi, duduk depan bank dan mengemis.
“Saya ‘minta duit’ Isnin hingga Jumaat sahaja. Datang sini pun hanya naik bas,” katanya.
Seorang lagi pengemis dikenali Yusof, 53, mengakui tidak mempunyai pilihan kerana mengalami sakit pinggang selepas jatuh dari pokok kelapa 10 tahun lalu.
Dia yang masih bujang turut menerima bantuan Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM300 sebulan.
“Bantuan ini tidak cukup sebab sewa rumah pun sudah RM300. Lagipun, buat apa malu mengemis, saya bukannya mencuri,” ujarnya.















