fbpx

Lelaki kempen PRU15, ganggu penjawat awam ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara berkempen sehingga menghalang penjawat awam melakukan tugas, seorang lelaki ditahan polis di Jalan 45/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul menerima makluman kejadian tersebut sekitar pukul 5.45 petang.

Kata beliau, pihaknya mendapati seorang lelaki tempatan sedang berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memegang sebatang kayu yang diikat bendera parti sambil memegang pembesar suara.

“Oleh itu, polis telah memperkenalkan diri dan meminta suspek turut memperkenalkan diri, namun lelaki itu enggan memberikan kerjasama lalu membuat provokasi mempersoalkan kuasa polis.

”Setelah menerangkan hak-hak untuk menahan dan memeriksa, kami telah menasihati suspek untuk beredar. Bagaimanapun, suspek sekali lagi bertindak melakukan provokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, individu berusia 44 tahun itu telah ditahan bagi siasatan lanjut.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI