fbpx
Gambar hiasan

Pengeluaran getah merosot, Risda sasar produktiviti pekebun kecil 1,500 kg sehektar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menyasarkan peningkatan produktiviti pekebun kecil kepada 1,500 kilogram sehektar setahun menjelang 2030 bagi menangani kemerosotan pengeluaran getah negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Risda memperkukuh pelan mitigasi menerusi peningkatan produktiviti, penanaman semula pokok getah tua serta pemulihan kebun terbiar.

Menurutnya, usaha itu turut memberi tumpuan kepada masalah kekurangan tenaga penoreh dan penyakit tanaman yang menjejaskan hasil pengeluaran pekebun kecil.

Katanya, menerusi Program Pengeluaran Hasil Getah Matang (PHGM), Risda menyediakan pelbagai input pertanian termasuk baja, peralatan menoreh dan perangsang lateks, selain bantuan penyelenggaraan kebun.

“Risda juga menggalakkan penanaman semula pokok getah tua dan tidak ekonomik menggunakan klon berpenghasilan tinggi bagi meningkatkan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai strategi Risda menangani kemerosotan pengeluaran getah negara serta sasaran produktiviti pekebun kecil menjelang 2030 di Dewan Rakyat hari ini.

Rubiah berkata, Risda turut melaksanakan program pemulihan kebun getah terbiar serta menyediakan latihan dan kemahiran bagi menarik lebih ramai tenaga kerja menceburi aktiviti penorehan.

Bagi menangani penyakit tanaman, Risda menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan teknikal kepada pekebun kecil, khususnya berkaitan penyakit luruh daun dan akar putih.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut menetapkan sasaran pengeluaran getah negara sebanyak satu juta tan metrik setahun menjelang 2030.

Menjawab soalan tambahan mengenai penanaman semula getah, Rubiah berkata, Risda menetapkan sasaran seluas 20,000 hektar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), namun hanya kira-kira 14,000 hektar berjaya dilaksanakan setakat ini.

“Bagi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Risda menyasarkan penanaman semula seluas 50,000 hektar atau kira-kira 10,000 hektar setahun.

“Selain itu, Risda Plantation bekerjasama dengan pekebun kecil menerusi perkongsian hasil dan pengurusan kebun bagi memulihkan kebun terbiar, dengan lebih 1,000 hektar berjaya dipulihkan setakat ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN