fbpx
Ramai rider mendakwa mereka ‘disidai’ berjam-jam untuk menunggu peniaga menyediakan makanan.

Upah makin kurang, kena ‘sidai’ yang lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerjaya sebagai penghantar makanan yang dahulunya menjanjikan pendapatan lumayan kini kian suram apabila ada rider mengeluh kerana hanya memperoleh RM50 untuk kerja selama 12 jam.

Lebih parah, pendapatan bersih hanya tinggal RM5 selepas ditolak untuk modal petrol dan makan pada hari berkenaan.

Jika ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh memperoleh pendapatan sehingga RM6,000 sebulan, namun kini hendak mendapat RM200 pun terlalu sukar.

Graduan Tekonologi Maklumat yang mahu dikenali sebagai Azim, 24, memberitahu, bertambah parah apabila kebanyakan rider kini sering ‘disidai’ ekoran terdapat segelintir peniaga dan vendor selalu lewat menyediakan makanan untuk dihantar.

Katanya, kewujudan rider yang terlalu ramai dalam ekonomi gig menjadi salah satu faktor mereka kurang mendapat pesa­nan ketika ini.

“Selain itu, sikap pengguna yang lebih gemar keluar sendiri untuk membeli makanan berbanding platform online juga menjadi punca.

“Lagi satu, rider kini lebih banyak kena ‘sidai’ kerana sikap segelintir peniaga dan vendor yang sering lambat menyediakan pesanan pelanggan. Rider kena tunggu sampai dua jam depan kedai dan kalau batal pesanan, kami yang rugi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Seorang lagi rider yang dikenali sebagai Helmi, 27, memberitahu, dia mendapat RM50 untuk 12 jam kerja sehari dan hanya tinggal RM5 untuk disimpan selepas ditolak duit minyak dan makan.

Katanya, keadaan itu langsung tidak berbaloi tetapi dia perlu bertahan sehingga mendapat kerja lain.

“Jika saya mengalah lagi parah kerana tiada duit untuk per­belanjaan harian. Ada masa boleh dapat RM200 dan ada hari sembilan pesanan saja masuk untuk 12 jam kerja, memang penat,” katanya.

Helmi menunjukkan sembilan pesanan dengan upah RM50 yang diperolehnya selepas bekerja selama 12 jam.

Mengalami nasib sama, Mohd. Rizal Alias, 28, pendapatan yang pernah diperoleh sehingga RM6,000 sebulan sejak 2020 hanya tinggal kenangan selepas negara memasuki fasa endamik.

Luahnya, pendapatan rider ketika ini hanya cukup makan apabila dia yang keluar selama 12 jam bermula pada pukul 8 pagi hanya mendapat RM80 hingga RM100.

Dakwaan kesemua rider itu ada benarnya apabila tinjauan mendapati, ramai penghantar makanan menghabiskan masa menunggu di sepanjang kaki lima di luar bangunan kedai dan berlegar-legar di kawasan bandar menunggu pesanan masuk.

Muhammad Firdaus Faiz, 21, yang telah menjadi ri­der sejak empat tahun lalu memberitahu, sistem yang dikenakan syarikat pengendali aplikasi makanan banyak berubah seolah-olah menje­rat mereka.

“Rider tak dapat upah se­perti sebelum ini iaitu akan dibayar RM4 untuk setiap pesa­nan. Namun kini, jika upah pesanan pertama RM4, pesanan kedua akan dikurangkan kepada RM3, sama juga pesanan ketiga, upah rider hanya RM2.50 atau RM2 sahaja.

Muhammad Firdaus mengambil makanan yang dipesan pelanggan di sebuah kedai di ibu negara baru-baru ini.

“Kami terpaksa terima pesa­nan kerana hendak menjaga Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Jika KPI teruk, upah lagi sedikit,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi rider yang enggan dikenali berkata, ketika ini dia begitu sukar untuk mencapai sasaran pesanan.

“Terpaksa habiskan 13 hingga 15 jam sehari untuk capai target.

“Walaupun pekerjaan ini nampak mudah, sekarang sangat memenatkan. Tambahan pula orang ramai sekarang sudah boleh keluar tanpa sebarang sekatan jalan raya, seperti yang terjadi pada dua tahun lalu ketika PKP,” katanya.

Dia turut mengingatkan kepada mana-mana individu yang ingin menceburi bidang ekonomi gig untuk berfikir sehabis baik agar tidak menyesal di kemudian hari.

“Mana yang tengah nak terlibat itu, fikir masak-masak. Makin ramai kerja sebagai rider, makin tenat rider sedia ada,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN