Oleh SHAH SHAMSHIRI
SETELAH lama dinanti oleh pengembara tegar seperti saya, sempadan antarabangsa kini mula dibuka.
Pasti ramai yang ingin bercuti ke luar negara, khasnya ke destinasi sekitar Asia Tenggara.
Dalam kalangan negara jiran yang kerap menjadi pilihan percutian sudah tentulah Indonesia. Antara destinasi menarik di negara republik itu adalah Medan, Sumatera Utara.
Sebelum ini, Medan terkenal sebagai kota persinggahan buat pelancong yang ingin melawat Danau Toba yang terletak beberapa jam dari kota tersebut.
Hakikatnya, ramai tidak sedar Medan sebenarnya ada tarikan tersendiri.
Selain kedudukannya tidak jauh dari Semenanjung Malaysia, ia juga merupakan alternatif percutian lebih murah berbanding kota-kota besar lain seperti Jakarta dan Yogyakarta.

PARA pelawat di Istana Maimun akan disambut dengan tarian tradisional oleh penduduk tempatan.
Malah, waktu penerbangan ke Medan mengambil masa kurang sejam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Pelawat yang menaiki pesawat ke Medan akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu yang terletak 25 kilometer dari kota Medan.
Para pengunjung boleh menaiki kereta api khas lapangan terbang atau Airport Rail Link yang menyambungkan lapangan terbang itu dengan stesen utama di kota Medan.
Perjalanan hanya 30 minit dengan tambang 100,000 Rupiah (RM30).
Saya rasa begitu selesa menaiki kenderaan awam itu, kerana ia sangat menepati waktu dan berada dalam kualiti sehebat negara maju.
Setibanya di Medan, terdapat banyak tempat yang boleh dikunjungi. Antaranya Muzium dan Galeri Hidupan Liar Antarabangsa Rahmat.
Muzium ini dimiliki oleh salah seorang usahawan tersohor Indonesia, Dr. Rahmat Shah yang juga ayah kepada pelakon terkenal, Raline Shah.
Ia menempatkan ribuan contoh spesies binatang yang kebanyakannya bangkai haiwan sebelum diproses semula supaya kelihatan seperti masih hidup buat tujuan pendidikan.
Galeri itu turut menyimpan beberapa koleksi istimewa lain seperti tandatangan pelakon Hollywood.

MUZIUM dan Galeri Hidupan Antarabangsa Rahmat menempatkan ribuan bangkai haiwan yang telah diawet.
Saya juga sempat melawat satu lagi bangunan ikon kota Medan, Istana Maimun. Ia tempat kebesaran Kesultanan Deli yang tampil gah berwarna kuning sebagai simbol diraja kerajaan Melayu.
Istana ini sebenarnya dirancang oleh seorang arkitek Itali dan disiapkan pada 1888 semasa pemerintahan Sultan Makmun Al Rasyid Perkasa Alamsyah.
Ia mempunyai keluasan 2,772 meter persegi dan mempunyai 30 bilik. Sehingga kini, istana itu masih didiami ahli keluarga sultan tersebut.
Pelbagai barangan istana, ruangan pertemuan, foto keluarga kerajaan Deli, perabot rumah tangga Belanda kuno dan senjata masih boleh dilihat di situ.
Di luar istana, terdapat Meriam Puntung peninggalan kerajaan Deli. Ia mempunyai kisah legenda mistik.
Menurut mitos, seorang putera berubah menjadi meriam demi mempertahankan negerinya sewaktu peperangan di zaman dahulu.
Sememangnya Medan kaya dengan tinggalan sejarah. Ini dapat dibuktikan lagi dengan lawatan ke rumah agam Tjong A Fie.

Ia adalah rumah agam asal milik Tjong A Fie, seorang warga Cina yang berhijrah ke Sumatera pada 1877.
Terkenal dengan sikap murah hati dan dermawan, dia menyumbang banyak pembinaan infrastruktur kota Medan tanpa mengira kaum atau agama.
Ini terbukti dengan wangnya yang telah digunakan untuk membangun masjid, kuil, gereja dan sebagainya.
Saya juga sempat singgah ke satu lagi bangunan unik dan cantik gereja Graha Bunda MaMria Annai Velangkanni.
Ia sebuah gereja dengan rekaan unik yang menggabungkan unsur India dan Indonesia. Dibuka pada 2005, sebuah bangunan berwarna-warni yang memang menjadi tumpuan pelancong.
Sebelum pulang, saya membeli oleh-oleh khas kota Medan iaitu bolu meranti, sejenis kek gulung dengan pelbagai perisa yang menjadi kegemaran ramai.















