fbpx

Selepas Sungai Petani, harga kembung di Alor Setar pun naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasil tangkapan ikan kembung bagi nelayan di Kubang Rotan semakin berkurangan sejak dua minggu lalu kerana cuaca yang tidak menentu dan laut bergelora.

ALOR SETAR – Bekalan ikan kembung di bandar raya ini, dilaporkan semakin berkurangan sehingga menyebabkan harga hasil tangkapan itu naik sehingga RM14 sekilogram sejak dua ming­gu lalu.

Keadaan itu berlaku kerana ramai nelayan tidak turun ke laut disebabkan cuaca tidak menentu.

Tinjauan di pelantar ikan dan pasar di Kubang Rotan dan Kampung Seberang Kota di sini mendapati, urusan jual beli di situ agak suram ekoran bekalan hasil tangkapan laut berkurangan.

Peniaga pasar Kubang Rotan, Azizah Ishak, 58, berkata, harga ikan kembung saiz sederhana naik daripada antara RM8 hingga RM10 kepada RM14 sekilogram sejak dua minggu lalu.

Katanya, harga naik disebabkan bekalan kurang setelah nelayan tidak dapat turun ke laut kerana cuaca hujan serta angin kuat dan laut bergelora.

“Biasanya setiap nelayan akan bawa pulang hasil tangkapan terutama ikan kembung sebanyak 700 kg hingga satu tan.

“Bagaimanapun, dalam dua minggu ini, hasil tangkapan sa­ngat kurang iaitu hanya 20 kg hingga 50 kg sahaja bagi setiap nelayan yang turun ke laut,” ujarnya.

Katanya, kalangan peniaga juga tidak berani mengambil bekalan ikan dalam jumlah yang banyak kerana terpaksa menjual pada harga tinggi.

“Setiap kali pembeli datang untuk membeli, mereka akan terkejut dengan harga ikan. Walaupun ada yang murah sedikit tetapi ikan kembung itu terlalu kecil dan bukan pilihan mereka,” jelasnya.

Menurut Azizah, bekalan ikan kembung di situ kebanyakan datang dari nelayan sekitar Kuala Sanglang, Kerpan dan Kuala Perlis sahaja.

Kosmo! semalam melaporkan harga ikan kembung di daerah Kuala Muda melonjak naik sehingga mencecah RM16 sekilogram sejak dua minggu lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI