fbpx

Jururawat dituduh bunuh, racun bayi guna insulin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Letby dituduh melakukan semua perbuatan tersebut ketika bertugas di Hospital Countess of Chester dari 2015 hingga 2016. – 9News

LONDON – Seorang jururawat neonatal sebuah hospital di Britain dituduh membunuh tujuh bayi dan cuba membunuh 10 yang lain termasuk meracuni dua bayi secara sengaja menggunakan insulin, demikian menurut seorang pendakwa raya seperti dilaporkan perkhidmatan berita 9News kelmarin.

Lucy Letby, 32, didakwa dengan tuduhan membunuh bagi kematian lima bayi lelaki dan dua bayi perempuan serta cubaan membunuh lima bayi lelaki dan perempuan ketika bertugas di Hospital Countess of Chester di barat laut England dari 2015 hingga 2016.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.

Ketika membuka sesi perbicaraan di Mahkamah Diraja Manchester, pendakwa raya Nick Johnson berkata, sejak 2015, hospital tersebut menyaksikan peningkatan signifikan bagi bilangan bayi yang nazak atau menderita akibat komplikasi yang serius.

“Kesihatan bayi-bayi yang berada dalam keadaan tidak stabil secara tiba-tiba merosot.

“Ada masanya bayi-bayi yang sakit dan kemudian sembuh secara tiba-tiba namun  mengalami kemerosotan keadaan kesihatan semula,” katanya kepada panel juri.

Tambah Johnson, apabila doktor -doktor gagal menemui punca keadaan itu, pihak hospital melaporkan kejadian tersebut kepada polis, dan siasatan mengesyaki bahawa terdapat seseorang dari unit neonatal meracuni dua bayi lelaki menggunakan insulin dua hari selepas mereka dilahirkan.

Paras gula dalam darah kedua-dua bayi itu jatuh ke paras berbahaya, kata Johnson sambil menambah, mereka bagaimanapun terselamat selepas menerima bantuan daripada kakitangan perubatan.

Menurut Johnson, Letby didapati bertugas ketika kedua-dua bayi berkenaan diracun.

Tambah beliau, pihak pendakwa raya percaya kematian dan keadaan kesihatan kesemua 17 mangsa adalah disebabkan perbuatan Letby, yang disifatkan sebagai ‘kehadiran jahat yang berterusan’ di unit neonatal hospital tersebut.

Letby sebelum ini ditahan tiga kali kerana disyaki mempunyai kaitan dengan beberapa kes kematian bayi sebelum dia didakwa pada November 2020.

Perbicaraan bagi kes tersebut dijangka berlangsung selama beberapa minggu atau memakan masa berbulan-bulan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI