fbpx

TNB perkukuh integriti menerusi kerjasama SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baharin (kanan) dan Azam menandatangani dan menukar dokumen MoU di Dewan Serbaguna Kelab Kilat TNB Bangsar.

PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited dalam mengukuhkan integriti organisasi sesuai dengan komitmennya terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dengan meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada 4 Oktober lalu, ia membolehkan kedua-dua organisasi mengadakan pelbagai aktiviti bersama bagi tempoh lima tahun.

Azam berkata, MoU itu mengukuhkan lagi kerjasama sedia terjalin antara TNB dan SPRM, malah diperluaskan dengan merangkumi perkongsian maklumat dan kepakaran, menambah baik sistem dan prosedur TNB, pelaksanaan operasi pengesanan bersama serta program kesedaran dan latihan.

“Saya amat berharap ia menjadi MoU terbaik dan menjadi contoh kepada kerjasama dan persefahaman yang lain. MoU ini bukan hanya dokumen untuk ditandatangani, sebaliknya disusuli dengan kerjasama berterusan dan aktiviti pengukuhan yang aktif antara SPRM dan TNB,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, pemeteraian MoU tidak akan berlaku tanpa tekad dan keazaman kepimpinan TNB mahu menjadikan organisasinya sebagai agensi yang disegani.

Malah, Azam turut menjanjikan SPRM bersedia berbincang lanjut bagi melakukan pelbagai usaha berkaitan dalam membantu TNB membanteras kegiatan kecurian elektrik oleh sindiket-sindiket perlombongan bitcoin.

Sementara itu, Baharin berkata, kerjasama TNB dan SPRM telah dapat mendedahkan kegiatan sindiket berkenaan dan dalam masa sama, tiada warga TNB dikesan menerima sogokan dalam operasi penyamaran SPRM menjejak kegiatan tersebut.

“Kerjasama ini membuktikan bahawa SPRM dan TNB mempunyai jalinan hubungan mesra yang erat dan persefahaman serta iltizam sama, khususnya ke arah memperkasa dan memperkukuh nilai integriti sesebuah organisasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI