fbpx

Gadis Kampus: Nurul Alieya ikuti aktiviti komuniti untuk ketahui isu pemakanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Alieya (kiri) banyak melibatkan diri dalam aktiviti komuniti.

MAHU menjadi sebahagian daripada komuniti pakar pemakanan dan terlibat aktif dalam bidang penyelidikan, itu impian gadis manis bernama Nurul Alieya Mohd. Arif Leow.

Kata gadis berusia 20 tahun ini, trend pemakanan tidak sihat di Malaysia dilihat menjurus kepada peningkatan risiko penyakit tidak berjangkit.

Bukan sahaja corak pemakanan berlebihan, ada juga mengamalkan pemakanan tidak bernutrisi yang menjurus kepada kekurangan zat yang diperlukan tubuh.

“Perkembangan ini sangat membimbangkan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

“Seperti apa yang sering diberitahu oleh pensyarah saya, Dr. Tan Seok Tyug, kita perlu mengambil kira faktor sosial demografi seseorang individu untuk menentukan tahap atau trend pemakanan keluarganya.

“Saya juga berhasrat untuk menyertai sebanyak mungkin aktiviti melibatkan komuniti agar dapat mengetahui isu pemakanan yang kurang mendapat perhatian,” katanya kepada K2.

Bertitik-tolak daripada masalah itu, anak kelahiran Johor Bahru ini melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Nutrisi di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor.

Faktor itu turut didorong oleh peranan ibu bapa, kakak dan abang, guru serta para pensyarah yang banyak berkongsi ilmu pemakanan dan aktiviti fizikal di media sosial.

Ibu dan kakaknya merupakan seorang doktor dan mempunyai sebuah klinik di Johor Bahru, manakala adik- beradiknya yang lain turut belajar dalam bidang sains.

Akuinya, mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan kenangan manis dalam hidupnya apabila melayakkan dirinya menyambung pengajian dalam bidang sains.

Berada di landasan betul, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Iskandar ini amat bersyukur kerana berjaya menyambung pengajian dalam bidang diminati dan teruja untuk menghadiri sesi pengkuliahan, seterusnya mempelajari ilmu sains di sebalik pemakanan.

“Saya berharap dapat mempelajari ilmu tersebut dengan lebih meluas, tidak terhad kepada nutrisi pemakanan sahaja, tetapi turut melibatkan isu-isu pemakanan dan kesihatan.

“Saya mahu lebih peka dalam pemakanan kerana menyedari betapa pentingnya pemakanan sihat bagi setiap individu untuk menjalani kehidupan normal dan mengelakkan penyakit.

“Saya berharap boleh berkongsi ilmu tentang pemakanan dengan lebih ramai orang, agar mereka tahu, untuk menjaga pemakanan sihat tidaklah sukar seperti disangka,” kongsinya.

SEPERTI mahasiswa lain, Nurul Alieya turut aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Ternyata, gadis ini begitu meminati bidang diceburinya itu apabila berjaya mendapat anugerah sepanjang pengajiannya.

Biarpun kini sibuk mengejar cita-cita, namun anak kelima daripada tujuh beradik itu tidak menolak kemungkinan untuk bekerja dalam bidang lain.

Katanya, dia turut teruja untuk meneroka ilmu baharu.

Bagaimanapun, Nurul Alieya tetap mengharapkan dapat bekerja dalam bidang dipelajari kerana ingin mempraktikkan ilmu dan potensi dirinya.

Sama seperti mahasiswi lain, gadis itu menikmati zaman kuliahnya dengan menyertai kelab koir di MSU iaitu MSU De’Voice Choir Club.

Menariknya, kelab tersebut tidak tertumpu kepada aktiviti koir sahaja, sebaliknya turut terlibat dalam program lain seperti aktiviti kempen, sukan dan tanggung jawab sosial.

“Saya sebenarnya tidak mempunyai aktiviti spesifik kerana jadual harian yang sangat padat.

“Selain kelas dan latihan koir, saya juga sibuk dengan tugasan subjek serta kerja-kerja rumah yang diberikan pensyarah.

“Bagaimanapun, jika ada kelapangan terutamanya ketika cuti semester, saya akan melakukan kerja sampingan seperti membuat topi.

Jika ada lagi masa lapang atau terluang, saya lebih gemar menghabiskannya dengan melakukan aktiviti luar bersama rakan-rakan,” katanya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI