fbpx
KAMISAN memecut motosikalnya dalam kepekatan malam selepas terserempak dengan kelibat seorang nenek tanpa wajah dalam perjalanan pulang ke rumah.– ILUSTRASI SHAH HASAN

Dinanti nenek tanpa wajah ketika pulang ke rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Orang-orang tua selalu berpesan agar ja­ngan mengutip atau mengambil barangan milik orang lain yang tercicir di jalan, terutamanya pada waktu malam agar tidak ditimpa musibah di kemudian hari.

Oleh kerana tidak mengendahkan nasihat tersebut, Kamisan Hamsani, 60, mengalami peristiwa menyeramkan kira-kira 40 tahun lalu ketika masih menetap di kampung.

Bercerita lanjut, pada masa itu, umurnya masih muda dan suka berpeleseran menggunakan motosikal kapcai, selain melepak bersama rakan-rakan di simpang jalan pada waktu malam.

“Biasalah, umur masih muda. Tiada perasaan takut biarpun ada orang cuba menakutkan saya dengan cerita-cerita seram di lokasi yang menjadi laluan pada waktu malam.

“Dah nama pun melepak, kadang-kadang sampai awal pagi tidak terasa. Banyak yang dibualkan dengan diselangi petikan gitar dan nyanyian rakan,” katanya ketika ditemui di Bandar Banting Baru, Selangor baru-baru ini.

Menurutnya, pada satu malam ketika melepak bersama kawan-kawan, tiba-tiba mata saya mengantuk, pada hal ketika itu baru pukul 11 malam.

“Malam itu tiba-tiba rasa amat mengantuk sekali walaupun kawan saya Rijal semakin rancak bermain lagu Kamelia yang dipopularkan Datuk Ramli Sarip.

“Rijal dan beberapa kawan pun pelik kerana saya minta diri untuk pulang atas alasan mengantuk,” katanya.

Ujarnya, malam itu langit agak mendung dan suasana agak gelap semasa dia mula menghidupkan enjin kapcai untuk pulang ke rumah kira-kira 400 meter dari kepala simpang tersebut.

Malam itu, Kamisan menunggang motosikal pada kelajuan agak perlahan sambil bersiul untuk menghilangkan rasa sunyi.

Sewaktu tiba di satu selekoh yang agak sunyi dan dipenuhi semak samun, tiba-tiba dia ternampak kelibat seorang wanita tua di hadapannya berjalan dengan menundukkan muka meredah kepekatan malam.

“Wanita itu memakai selendang putih dan berketinggian lebih kurang lima kaki. Semasa saya menghampirinya, wanita itu tiba-tiba dia menoleh,” katanya.

JANGAN pandai-pandai kutip barangan yang jatuh di tepi jalan seperti sapu tangan pada waktu malam, dikhuatiri ia ada pemilik dari dunia lain- GAMBAR HIASAN

Apa yang menyeramkan, kata Kamisan, wanita tersebut tidak mempunyai wajah.

Dalam keadaan itu, dia menjadi panik dan terus memecut kapcainya agar segera tiba di rumah kerana terlalu takut.

Biarpun begitu, peristiwa menyeramkan itu sedikitpun tidak melenturkan semangat mudanya untuk terus melepak bersama kawan-kawan hingga larut malam.

Biarpun perasaan takut ada, namun dia gagahi juga kerana berasa bosan terperuk sahaja di rumah.

Dia berasa lega selepas beberapa malam keluar melepak, tidak lagi terserempak dengan kelibat wanita tersebut semasa pulang ke rumah.

Hinggalah pada satu malam, ketika dalam perjalanan pulang, Kamisan ternampak sehelai sapu tangan berwarna putih di atas jalan, lalu mengutipnya.

“Tanpa berfikir panjang, saya mengambilnya dan memasukkannya ke dalam poket dan berlalu pulang.

“Tiba-tiba motosikal saya sukar bergerak, seolah-olah ada penumpang di belakang,” katanya.

Ketika itu cerita Kamisan, hatinya mula berasa menyesal mengutip sapu tangan putih tersebut.

Katanya, perjalanan ke rumah terasa begitu jauh hinggakan motosikal yang biasa membawa tong susu getah itu berderam-deram bunyi enjinnya.

“Sampai sahaja di rumah, saya terus melompat dari motosikal tanpa menoleh ke belakang.

“Bapa yang sedang menonton televisyen terkejut melihat saya masuk ke rumah dengan wajah pucat lesi.

“Selepas menerangkan apa yang terjadi, bapa menyuruh saya mengeluarkan sapu tangan putih yang dikutip tadi,” katanya.

Apa yang mengejutkan, sapu tangan tadi bertukar menjadi kain kafan yang besar.

Bapanya terus memarahinya kerana ingkar pesanan supaya jangan mengutip barang yang jatuh
dan membawanya pulang.

“Baru saya ingat, lokasi sapu tangan yang ditemui sama dengan tempat saya bertembung dengan wanita tua sebelum itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN