fbpx
Orang ramai didakwa sukar mendapatkan tiket feri menjadi punca ramai batal melancong ke Pulau Langkawi.

Tiket feri punca Langkawi tiada pelancong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Kegagalan mendapatkan tiket feri dipercayai menjadi punca ramai pelancong membatalkan tempahan bilik untuk ke Pulau Langkawi menjelang cuti umum Maulidur Rasul hujung minggu ini.

Difahamkan sebelum ini perjalanan feri sebanyak 12 kali sehari kepada lima sahaja sekarang dan perkara itu menjejaskan kedatangan pelancong.

Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) melahirkan kebimbangan itu apabila hampir 20 aduan setiap hari daripada ah­linya termasuk dengan industri pelancongan lain di situ.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainudin Kadir, pihaknya merekodkan pembatalan seba­nyak 29 peratus sehingga 3 Oktober lepas bagi tempahan sepanjang cuti panjang hujung minggu sehingga Isnin itu.

Berita berkaitan: ‘Siapa kata Langkawi tiada pelancong?’

“Pembatalan ini melibatkan hotel, chalet dan inap desa pe­ngusaha di bawah naungan LTA iaitu sebanyak 29 peratus. Saya dimaklumkan banyak yang membuat tempahan, namun batalkan setelah gagal mendapatkan tiket feri ke sini.

“Orang sudah malas untuk ke Langkawi, banyak yang memilih untuk ke Cameron Highlands atau Hatyai, itu realiti sebenar­nya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tambah Zainudin, itu satu masalah besar yang menyelubungi industri pelancongan Langkawi dan perlu ditangani segera oleh agensi dan kerajaan.

“Sempena cuti Maulidur Rasul ini, tempahan banyak diperoleh di sekitar Pantai Cenang sahaja sementara di kawasan lain termasuk pekan Kuah masih le­ngang.

“Contoh mudah, datang dan lihat sendiri keadaan di Terminal Feri Kuah. Dahulu ada 25 kaunter sekarang tinggal lapan sahaja. Banyak pengusaha terdiri agensi pelancongan termasuk kereta sewa ini tidak mampu bertahan kerana kedatangan semakin berkurangan,” dakwanya.

Sehubungan itu, kata beliau, selain memperbanyakkan jadual perjalanan feri pihaknya berharap lebih banyak lesen diberikan kepada pengusaha luar yang berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan laut itu.

POPULAR