fbpx
Pemain KL City, Ryan Lambert dan Declan Lambert melakukan asakan ke atas pemain tuan rumah pada aksi final antara zon Piala AFC di Stadium Sogdiana, Jazzakh sebentar tadi. Foto ihsan AFC

Piala AFC: KL City mara ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Kelab Kuala Lumpur City (KL City) mencipta sejarah mara ke final Piala AFC buat kali pertama selepas menewaskan PFC Sogdiana Jazzakh menerusi penentuan penalti 5-3 pada aksi final antara zon sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Sogdiana itu, skuad Warga Kota kendalian Bojan Hodak membariskan kesebelasan terbaik terdiri seperti Paulo Josue, Romel Morales, Zhafri Yahya dan Ryan Lambert.

Seperti dijangka, pasukan tuan ruan rumah dilihat terlebih dahulu menguji benteng KL City menerusi percubaan Sardor Qulmatov dan Shokruz Norkhonov pada awal saingan tetapi tersasar.

Shakhboz Jurabekov turut melakukan rembatan tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.

Bersambung pada babak kedua, KL City mula memperkemaskan jentera serangan dan meraih percubaan pertama hasil rembatan Josue pada minit ke-48 tetapi tidak menepati sasaran.

Ketika aksi berlarutan ke masa tambahan, tiada gerakan menarik yang dapat dilakukan oleh KL City dengan penguasaan sepenuhnya dilakukan oleh pasukan tuan rumah.

Keputusan 0-0 kekal selama 120 minit perlawanan sehingga aksi terpaksa ditentukan oleh penentuan penalti.

Kesemua pengambil sepakan penalti seperti Josue, Morales, Hadin Azman, Akram Mahinan dan Giancarlo Galiofuoco berjaya menjaringkan gol.

Sementara itu, Mendoza berjaya menyelamatkan sepakan yang dilakukan oleh pemain tuan rumah, Jurabekov.

KL City menjadi kelab kedua Liga Malaysia mara ke final Piala AFC selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar juara pada edisi 2015. – KOSMO! ONLINE

POPULAR