fbpx
MUSK bersetuju mengenai tawaran pembelian Twitter pada harga AS$54.20 (RM251.43) sesaham pada April lalu. - AFP

Elon Musk buat ‘u-turn’, setuju beli Twitter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Manusia terkaya di dunia, Elon Musk bertukar fikiran mengenai rancangan untuk membatalkan pembelian saham Twitter, sebaliknya bersedia meneruskan pengambilalihan platform media sosial tersebut, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Dalam satu surat yang dikirim kepada Twitter, Musk bersetuju untuk membayar harga yang ditawarkan oleh beliau beberapa bulan lalu sebelum cuba membatalkan perjanjian tersebut.

Keputusan mengejut itu dibuat beberapa minggu sebelum kedua-dua pihak dijadualkan menghadiri perbicaraan di mahkamah. Twitter yang sebelum ini menyaman Musk agar meneruskan pengambilalihan syarikat itu dilihat mempunyai sokongan kes yang lebih kuat.

Dalam surat tersebut, peguam yang mewakili Musk memaklumkan bahawa bilionair itu berhasrat untuk meneruskan urus niaga tersebut sementara menunggu penerimaan pembiayaan dan menamatkan pertikaian undang-undang.

Jurucakap Twitter mengaku bahawa syarikat itu telah menerima cadangan yang diutarakan, sambil menambah bahawa pihaknya berhasrat untuk menetapkan transaksi pada AS$54.20 (RM251.43) sesaham, iaitu harga yang dijanjikan oleh Musk April lalu.

Perkembangan terbaharu itu menyebabkan saham Twitter melonjak lebih 20 peratus kepada lebih AS$52 (RM241.23) sesaham. 

“Membeli Twitter adalah salah satu kaedah untuk mempercepat penciptaan X, satu aplikasi untuk segala-galanya,” demikian menurut ciapan Musk di Twitter kelmarin.

Musk ketika mula mendedahkan rancangannya untuk membeli Twitter dalam perjanjian bernilai AS$44 bilion (RM204.1 bilion) berkata, beliau mahu menghapuskan akaun spam di platform itu dan mengekalkannya sebagai medium untuk kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, beliau cuba membatalkan pembelian itu beberapa minggu kemudian dengan menyuarakan kebimbangan bahawa bilangan akaun palsu di platform itu lebih tinggi daripada yang didakwa oleh Twitter. – Agensi 

 

POPULAR