fbpx

Manfaat Bajet 2022 sampai akar umbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Menjelang pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini, pastinya ramai yang tertanya-tanya apakah bentuk pelan kerajaan dalam memperkukuh pemulihan ekonomi Malaysia, melindungi rakyat dan perniagaan daripada cabaran semasa dan mendatang.

Apatah lagi prospek untuk tahun 2023 dilihat tidak menentu dan mencabar berikutan perkembangan global.

Konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, harga komoditi dan makanan yang kekal tinggi di peringkat global, gangguan rantaian bekalan serta inflasi tinggi mendorong pengetatan dasar monetari, kesemuanya dilihatmelembapkan prospek pertumbuhan.

Hal ini antara yang mendorong Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun jangkaan pertumbuhan ekonomi global, daripada 4.4 peratus kepada 3.2 peratus bagi tahun 2022, serta daripada 3.8 peratus kepada 2.9 peratus untuk tahun depan.

Pun begitu, sekiranya pelaksanaan Bajet 2022 dijadikan penanda aras untuk Bajet 2023, mungkin rakyat Malaysia masih memiliki alasan untuk mengambil sudut pandang yang lebih optimis, berdasarkan prestasi ekonomi negara sekarang yang boleh dianggap kukuh.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), antara pencapaian Bajet 2022, setakat 31 Ogos lalu ialah memacu perkembangan ekonomi negara sebanyak 5.0 peratus untuk suku tahun pertama 2022 dan pertumbuhan 8.9 peratus bagi suku kedua.

Pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua ini adalah yang tertinggi di ASEAN, dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju serta serantau seperti China yang merekodkan 0.4 peratus, Amerika Syarikat (1.6 peratus), Korea (2.9 peratus), Kesatuan Eropah (4.0 peratus), Singapura (4.4 peratus), Indonesia (5.4 peratus) dan Filipina pada 7.4 peratus.

Ia meletakkan Malaysia pada landasan untuk mencapai, atau menjangkaui unjuran 5.3 peratus hingga 6.3 peratus untuk tahun 2022.

“Selain itu, kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020.

“Bagi manfaat terus kepada rakyat pula, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bernilai RM7.15 bilion melibatkan 8,608,951 penerima, serta Program e-Pemula RM150 bernilai RM266.03 juta melibatkan 1,773,514 penerima adalah antara pelbagai jenis bantuan disalurkan,” katanya.

Sementara bagi memastikan kesejahteraan rakyat, kerajaan tidak teragak-agak untuk menambah baik Bajet 2022 dalam menangani perubahan suhu ekonomi global, antaranya dengan menaikkan peruntukan subsidi bagi mengawal lonjakan inflasi yang berlaku di seluruh dunia.

Meskipun kenaikan harga barang masih tetap berlaku, kadar inflasi untuk tujuh bulan pertama tahun ini terkawal pada tahap 2.8 peratus.

Kadar inflasi Malaysia pada Julai lalu, mencatatkan 4.4 peratus lebih rendah berbanding United Kingdom pada 10.1 peratus, Zon Eropah (8.9 peratus), Amerika Syarikat (8.5 peratus), Thailand (7.6 peratus), Singapura (7.0 peratus), Filipina (6.4 peratus), Republik Korea (6.3 peratus) dan Indonesia pada 4.9 peratus.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan subsidi pada pembentangan Bajet 2022 tahun lalu hanyalah RM31 bilion, namun telah dinaikkan kepada RM77.7 bilion dan mungkin mencecah RM80 bilion.

“Akibat faktor di luar kawalan kita yang berlaku di seluruh dunia, misalnya gangguan rantaian bekalan dan konflik di Ukraine, kita dapat lihat harga barang naik secara mendadak.

“Sebagai negara bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan inflasi naik terlalu cepat, jadi kerajaan telah menaikkan subsidi terutamanya untuk barangan dan perkhidmatan keperluan.

“Contohnya, sebelum ini kerajaan tidak pernah memberi subsidi untuk ayam dan telur,” katanya.

Antara fokus bagi Bajet 2023 ialah meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan, menangani kos sara hidup melalui bantuan bersasar, mengukuhkan perlindungan sosial, terutamanya bagi golongan rentan dan mempromosikan kesejahteraan holistik untuk rakyat.

Seperti Bajet 2022, pasti banyak manfaat menanti rakyat dan Bajet 2023 dijangka terus mempercepatkan pemulihan ekonomi negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI