fbpx

Mahkamah: Shafee pertahan kenyataan media berkaitan transaksi wang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Shafee.

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mempertahan kenyataan medianya di Mahkamah Tinggi di sini Isnin lalu yang mempertikai kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan empat pucuk surat berkaitan lima transaksi wang tunai yang dijanjikan oleh Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menjelaskan, kenyataan media itu tepat dan tidak diada-adakan serta bertujuan menjawab pertanyaan wakil media berhubung kesahihan transaksi wang tunai sama ada ia benar-benar diberikan oleh Arab Saudi.

Sambil memohon maaf, Muhammad Shafee menyatakan, pihak pembelaan hanya berniat menjelaskan kepada pihak media bagaimana mereka mengendalikan kes dan tidak sekali-kali menyentuh kes pendakwaan.

Beliau mempersoal mengapa pendakwaan tidak mengemukakan empat pucuk surat yang mendedahkan lima transaksi berkenaan iaitu dua daripada Kementerian Kewangan Riyadh manakala dua lagi daripada Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud yang dihantar di antara Ogos 2011 dan Ogos 2012.

Sri Ram mengemukakan aduan tersebut pada perbicaraan kes rasuah dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Najib.

Ketika perbicaraan disambung pada sesi petang semalam, Sri Ram menafikan pihak pendakwaan menyembunyikan empat pucuk surat daripada Arab Saudi berkaitan lima transaksi wang tunai berjumlah hampir AS$180 juta yang dijanjikan kepada Najib.

Sri Ram memberitahu, dokumen itu tidak dikemukakan kerana tidak berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang sedang dihadapi oleh Najib.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan Muhammad Shafee Abdullah mengadakan sidang media memaklumkan perkara itu di luar mahkamah, sebagai serangan secara terus kepada pihak pendakwaan.

Pada prosiding hari ini, Sri Ram sekali lagi mengulangi pendiriannya agar sebarang aduan perlu dibangkitkan di hadapan mahkamah, bukan kepada pihak media dan `dibicarakan’ di khalayak ramai.

Beliau menegaskan, ini kerana pihak pendakwaan tidak boleh menjawab atau memberi maklum balas terhadap sebarang dakwaan yang dibangkitkan kepada pihak media di luar mahkamah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian memaklumkan pendirian mahkamah bahawa isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dianggap telah diselesaikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI