“KEMUDAHAN Beli Dahulu Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) telah menjerat saya ke dalam belenggu hutang,” akui seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Aisyah.
Aisyah tidak dapat menafikan kemudahan perkhidmatan BNPL itu telah menggodanya untuk membeli barangan yang tidak perlu dan akhirnya berdepan masalah kewangan.
Menurutnya, sebelum terjebak dengan kemudahan tersebut dia terlebih dahulu mempunyai komitmen pinjaman peribadi.
“Saya bekerja dalam sektor swasta, begitu juga dengan suami saya.
“Pendapatan bulanan yang kami miliki setelah ditolak dengan komitmen bulanan bakinya hanya tinggal cukup-cukup makan,” jelasnya yang berusia awal 30-an kepada K2.
Namun, dengan kemudahan BNPL yang ditawarkan, Aisyah mula memberanikan diri untuk membeli barangan keinginannya secara berhutang.
Lama-kelamaan dia menjadi ketagih dan membeli banyak barang melalui kemudahan tersebut.

“Banyak barang saya beli dengan menggunakan kemudahan ini di pelbagai platform BNPL dan bila terkumpul ia menjadi banyak.
“Ada satu ketika, saya perlu memperuntukkan lebih RM1,500 sebulan untuk membayar hutang tersebut dan setelah dihitung, saya tidak mempunyai keupayaan untuk membayarnya,” ulasnya.
Ekoran bebanan hutang itu, Aisyah cuba meminta pertolongan suaminya, tetapi suaminya juga tidak mampu untuk membantu sepenuhnya.
Akhirnya Aisyah yang buntu terpaksa meminjam wang daripada ibu bapanya bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya terpaksa tebalkan muka untuk meminjam sejumlah wang daripada ibu bapa bagi membolehkan bayar ansuran bulanan barangan yang dibeli dengan kemudahan BNPL.
“Rasa menyesal juga ada apabila terlalu mengikut hawa nafsu berbelanja yang akhirnya menjerat diri,” katanya.
Tambah Aisyah, selepas peristiwa itu dia lebih berhati-hati dalam berbelanja.
Realitinya, dewasa ini, platform kemudahan BNPL tumbuh bagai cendawan selepas hujan dan telah memenangi hati pengguna khususnya kalangan generasi muda untuk mendapatkan barangan diinginkan.
Namun begitu, kemudahan ini boleh menjerat pengguna ke ‘lubuk’ hutang jika penggunaannya tidak terkawal.
Pengendali program risikan kewangan yang juga merupakan Pengarah Eksekutif People System Consultancy Sdn. Bhd., Raymond D. Gabriel berkata, secara konsepnya BNPL adalah sama dengan kaedah membeli-belah tradisional di mana pengguna boleh memiliki sesuatu barangan setelah membuat bayaran ansuran yang sewajarnya.

Menurutnya, BNPL adalah satu sistem kredit yang membolehkan pengguna membeli barangan secara hutang agar tidak membebankan mereka.
“Kemudahan ini merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia dan kini kita dapat menyaksikan banyak platform BNPL disediakan dan berlaku peningkatan perbelanjaan dalam segmen ini.
“BNPL adalah sejenis kemudahan teknologi kewangan jangka pendek yang menggunakan teknologi machine learning iaitu penggunaan algoritma berdasarkan data dan konsep kredit pengguna,” jelasnya.
Menurut Raymond, pengguna akan tertarik untuk menggunakan kemudahan ini kerana tiada semakan kredit oleh pembekal servis, tiada kadar faedah dan tiada proses pendaftaran servis yang susah dan memeningkan.
Malah, dengan hanya beberapa ‘klik’, pengguna boleh mendapatkan barangan yang mereka mahukan melalui platform ini.
Raymond menjelaskan, pembekal servis BNPL menyasarkan pengguna daripada golongan unbanked dan underbanked.
Menurutnya, lebih 55 peratus daripada rakyat Malaysia diklasifikasikan sebagai unbanked dan underbanked, menjadikan BNPL satu sistem yang sangat berguna untuk mengurangkan jurang rangkuman kewangan.
“Kedua-dua istilah ini, unbanked dan underbanked membawa maksud pengguna itu tidak dapat menggunakan sistem pinjaman daripada pihak bank kerana tidak layak disebabkan beberapa faktor sebagai contoh bekerja dalam gig ekonomi, kehilangan pekerjaan dan lain-lain lagi.
“Jadi, BNPL akan menolong mereka yang berdepan situasi sebegini untuk mendapatkan pinjaman secara mudah bagi membeli barangan yang diinginkan,” jelasnya.
Tambahnya, pembelian dapat dilakukan dengan kadar faedah 0 peratus dan penggunaan BNPL juga tidak memerlukan sebarang proses pendaftaran yang susah dan semakan kredit dari mana-mana pihak atasan.
Namun begitu, kemudahan BNPL di Malaysia buat masa ini bukan di bawah bidang kuasa mana-mana badan agensi kerajaan atau entiti kewangan.
Bagaimanapun katanya, Bank Negara, Kementerian Kewangan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sedang bekerjasama untuk menubuhkan satu akta yang akan mengawal sebarang aktiviti BNPL dari segi pembekal servis dan pengguna.
Raymond berpandangan, sistem BNPL tidak sesuai untuk diamalkan oleh golongan belia, terutama pelajar atau individu muda yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
“Ini kerana ia menyebabkan mereka menanggung hutang tambahan tanpa disedari apabila membeli barangan yang mereka tidak mampu untuk memperolehnya,” katanya.
Raymond menjelaskan, BNPL ini juga mempunyai risiko yang amat tinggi kepada pengguna yang akhirnya boleh menjerat diri.
Menurutnya, kebanyakan pengguna yang membeli dengan menggunakan kemudahan BNPL ini tidak membaca syarat dan terma dengan sebetul-betulnya.
“Ada BNPL yang tidak menawarkan sebarang faedah kepada pengguna, tetapi sebenarnya jika seseorang itu lewat bayar ada caj faedah yang dikenakan, malah ada yang lebih tinggi daripada caj faedah kad kredit.
“Ini yang akan membebankan seseorang itu dan hutangnya akan bertambah. Oleh itu, setiap pengguna harus membaca terma dengan betul sebelum membeli sesuatu barangan menggunakan kemudahan BNPL ini,” katanya.
Selain itu, risiko lain yang disebabkan oleh BNPL adalah ia mendorong pengguna untuk membeli barangan yang tidak perlu. Tegas Raymond, setiap pengguna harus faham akan barangan keperluan dan kehendak.
“Kini urusan untuk membeli barangan menjadi mudah dan ia boleh dilakukan di hujung jari di peranti pintar.
“Oleh itu, orang ramai akan senang tergoda untuk membeli barangan yang tidak perlu dan menggunakan kemudahan BNPL bagi mengurangkan beban,” terangnya.
Namun apa yang membimbangkan, jika terlalu banyak barangan yang tidak perlu dibeli dalam satu masa bukan hanya menjadi satu pembaziran, malah menyebabkan komitmen hutang pengguna bertambah.
Mereka yang menggunakan kemudahan BNPL haruslah berdisiplin untuk membuat bayaran balik.
Mereka juga perlu memastikan kemampuan kendiri untuk membuat bayaran balik dan membuat pembelian yang sesuai dengan kemampuan kewangan sendiri sebelum menggunakan kemudahan BNPL.
Raymond berkata, dalam usaha membantu mereka di luar sana terutama generasi muda daripada terjebak pengumpulan hutang yang besar, pihaknya telah melancarkan program risikan kewangan yang memfokuskan tentang pemahaman tentang wang, cara mengurus kewangan dan bagaimana untuk mengelakkan perangkap kewangan biasa.
“Kami komited dalam melancarkan program risikan kewangan yang sesuai dengan keadaan semasa bagi memastikan tahap pengetahuan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia boleh diperbaiki dan mampu buat keputusan kewangan dengan bijak.
“Malah, melalui program ini juga kebanyakan peserta telah menunjukkan perubahan tabiat seperti tahap literasi kewangan lebih tinggi, boleh membuat keputusan kewangan yang baik, memilih untuk menunda kepuasan dalam berbelanja dan lain-lain lagi,” katanya.














